Senarai pemain kekal 2016

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Pengurusan Skuad Liga Super Selangor Darul Ehsan menyedari bahawa perkembangan pasukan ini sentiasa diambil berat dan serius bukan sahaja oleh penyokong setia Selangor khasnya tetapi juga peminat sukan bolasepak tanahair secara keseluruhannya.

Kejayaan menjulang TM Piala Malaysia bagi kali ke 33 telah menambah keterujaan semua pihak tentang hala tuju pasukan ini terutamanya berkaitan senarai pemain yang akan mewakili pasukan ini bagi musim yang akan datang. Situasi ini telah membawa kepada banyak spekulasi dan khabar angin yang tidak terkawal sehingga akhirnya dibimbangi akan menjejaskan keharmonian pasukan.

FAS dan pasukan pengurusan telah meneliti dari setiap aspek dan prestasi pemain sebelum kami memuktamadkan senarai pemain yang akan dikekalkan bagi musim 2016. Ianya satu keputusan yang sukar kerana rata-rata prestasi pemain Skuad Liga Super Selangor dari awal musim sehingga tamat TM Piala Malaysia berada pada tahap yang meyakinkan. Namun, mengambil kira keperluan memantapkan pasukan untuk saingan Liga Super dan Piala AFC tahun hadapan, satu rombakan perlu dilakukan.

Hampir keseluruhan pemain yang dikekalkan musim 2016 ini telah pun menandatangani kontrak yang ditawarkan manakala pemain-pemain yang tidak dikekalkan akan dimaklumkan bagi mereka menjalani proses perpindahan dengan lancar. Saya yakin berdasarkan prestasi mereka yang cemerlang pasti akan menerima tawaran yang baik dari pasukan-pasukan yang lain.

FAS mengucapkan jutaan terima kasih di atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh keseluruhan pasukan dalam musim 2015 ini. Semoga dengan pengumuman ini, sebarang spekulasi dan khabar angin akan terhenti dengan sendirinya dan diharap perancangan pasukan Selangor berjalan lancar bagi menghadapi saingan pada tahun 2016.

Y.B. Amirudin bin Shari
Pengurus Pasukan Liga Super Selangor Darul Ehsan

Pemain Tempatan Yang Dikekalkan: Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Norazlan Razali, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Saiful Ridzuwan Selamat, S Veenod, Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Raimi Md Nor, Mohd Fittri Shazwan Raduwan, Abdul Hadi Yahaya, Mohamad Azmi Muslim

Pemain Import Yang Dikekalkan: Andik Vermansah, Robert Cornthwaite

Pemain Baru: Mohd Hafiz Kamal (Pahang), R Gopinathan (Pahang), Mohd Khairul Azhan Khalid (Pahang), Mohd Razman Roslan (Pahang), Zarif Irfan Hashimuddin (Air Asia FC)