Selangor tercalon lima kategori ABK2017

Wakil Selangor dipilih sebagai tiga calon akhir bagi lima kategori pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK2017) yang akan dilangsungkan malam ini.

Penyerang berpengalaman, Mohd Amri Yahyah disaingi dua lagi pencabarnya bagi anugerah Penyerang Terbaik iaitu Syafiq Ahmad (Kedah) dan Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC).

Pemain pertahanan Selangor musim 2017, Adam Nor Azlin yang kini telah menyertai Johor Darul Ta’zim untuk musim akan datang tercalon bagi kategori Pemain Muda Harapan yang turut menampilkan dua rakan sepasukannya dalam skuad B-23 kebangsaan, Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah) serta Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dengan anugerah itu dimenangi penyerang T-Team, Safawi Rasid, tahun lalu.

Selangor turut dicalonkan untuk tiga anugerah sampingan – Penyokong Terbaik, Laman Web Terbaik dan Media Sosial Terbaik untuk edisi tahun ini.

ABK2017 akan berlangsung di Hotel One World, Jumaat ini, bermula jam 9 malam.