Selangor tak sabar ke Shah Alam Ahad ini

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC pada perlawanan ke-14 Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi sebagai motivasi terbaik buat anak buahnya untuk berdepan lawan sama pada perlawanan ke-15 di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

“Kita akan bertemu PKNS FC sebanyak empat kali dalam bulan Jun ini iaitu dua aksi Liga Super dan dua aksi separuh akhir Piala FA. Jadi kemenangan pada pertemuan pertama ini boleh dianggap hala tuju yang baik sebelum menghadapi tiga lagi pertemuan selepas ini.

“Apa pun untuk perlawanan Ahad ini, kita tak boleh berasa terlalu yakin. Saya pun menghormati Datuk K Rajagobal sebagai seorang jurulatih yang berpengalaman. Jika kita mahu tiga mata penuh malam ini untuk memperbaiki kedudukan, PKNS FC juga akan menyatakan nada sama untuk aksi Ahad ini.

“Kita akan ke Stadium Shah Alam dengan para pemain pun sudah tidak sabar kerana lama tak beraksi di sana. Harap motivasi pada aksi malam ini dapat diteruskan pada Ahad ini,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ditanya mengenai tindakannya mengeluarkan penjaring utama, Rufino Segovia pada waktu rehat separuh masa, Nazliazmi berkata, ia sebagai langkah pencegahan kecederaan memandangkan Selangor mempunyai dua lagi perlawanan liga dalam masa terdekat iaitu bertemu PKNS FC pada Ahad ini dan Perak pada 19 Jun.

“Kecederaan dialami Rufino tidak begitu serius tetapi saya terpaksa keluarkan dia memandangkan kita mempunyai perlawanan lagi pada Ahad ini dan juga pada hari raya kelima. Selepas itu, separuh akhir Piala FA pula.

“Tapi seperti yang saya beritahu, kemenangan pasukan bukan terletak pada seorang pemain saja dan saya percaya kepada semua pemain saya. Alhamdulillah, Faizzudin Abidin yang masuk menggantikan Rufino dapat menjalankan tugas dengan baik,” jelas Nazliazmi.

Selangor akan bertemu PKNS FC untuk aksi timbal balik separuh akhir Piala FA 2018 pada 23 Jun di Cheras dan 30 Jun di Shah Alam.