Selangor diundi bersama Kelantan, Pahang & KL

Juara bertahan, Selangor diundi bersama Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur dalam Kumpulan B pada majlis undian TM Piala Malaysia 2016 yang berlangsung di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, malam tadi.

Secara kebetulan, Kelantan turut sama kumpulan dengan Selangor pada edisi tahun lalu yang menyaksikan skuad Red Giants berjaya menamatkan kemarau 10 tahun untuk menjulang trofi Piala Malaysia buat kali ke-33.

Lebih menarik, Selangor yang dikendali jurulatih, Zainal Abidin Hassan musim ini baru saja menewaskan Kelantan 5-2 pada perlawanan ke-12 Liga Super 2016 di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Pahang pula merupakan pasukan yang disingkirkan Selangor pada saingan separuh akhir musim lalu ketika pasukan itu dikendalikan Zainal Abidin.

Sementara pasukan dari Liga Premier, Kuala Lumpur pula yang dikemudi Ismail Zakaria sudah sinonim sebagai musuh setempat dengan Selangor dan dua perlawanan pada saingan Kumpulan B nanti sudah tentu menjadi pertembungan derby Lembah Klang yang menarik dan klasik.

Lain-lain kumpulan, Kumpulan A menyaksikan T-Team diundi bersama Kedah, Sarawak dan JDT II, Kumpulan C membariskan JDT, PDRM, Perak dan PKNS FC manakala Kumpulan D menemukan Felda United, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.

Saingan Piala Malaysia musim ini akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri dan akan berlangsung secara serentak dengan baki 10 perlawanan Liga Super.

Musim lalu, Selangor muncul juara selepas menewaskan Kedah 2-0 menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada aksi final yang berlangsung di Stadium Shah Alam.