Selangor diundi bersama JDT, Sarawak & Terengganu

Juara 33 kali, Selangor telah diundi bersama pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak dan pasukan Liga Premier, Terengganu dalam Kumpulan D pada majlis undian TM Piala Malaysia 2017 yang berlangsung di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, malam ini.

Skuad Red Giants kendalian P Maniam itu diletakkan dalam Balang 2 selepas menamatkan 11 perlawanan pusingan pertama Liga Super musim ini di tangga kelima di belakang JDT, Pahang, Kedah dan Perak.

JDT bimbingan Benjamin Mora sudah tentu dianggap pencabar utama dalam Kumpulan D meskipun juara Liga Super tiga musim berturut (2014, 2015 dan 2016) itu gagal melangkah jauh pada dua edisi terakhir Piala Malaysia (2015 dan 2016) selepas mereka tewas di pentas final 2014 kepada Pahang.

Sarawak yang diundi dari Balang 3 selepas menamatkan pusingan pertama Liga Super di tangga ke-11 turut tidak boleh dipandang mudah kerana selepas Selangor berjaya menewaskan barisan kendalian David Usop itu 2-1 pada aksi liga di Selayang, skuad Maniam sekadar seri 1-1 pada aksi di Kuching, 9 Mei lalu.

Sementara Terengganu di bawah bimbingan bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim terpilih berada dalam Kumpulan D menerusi slot dari Balang 4 berdasarkan kedudukan mereka selaku pasukan tangga kedua Liga Premier 2017 selepas tamat pusingan pertama.

Lain-lain kumpulan, Kumpulan A menyaksikan Pahang diundi bersama T-Team, Negeri Sembilan dan PKNP FC; Kumpulan B membariskan Perak, Felda United, PKNS FC dan Kuala Lumpur manakala Kumpulan C menemukan juara bertahan Kedah, Kelantan, Melaka dan UiTM FC.

Saingan TM Piala Malaysia musim ini akan bermula pada 4 Julai depan dan akan berlangsung secara serentak dengan baki sembilan perlawanan Liga Super.

Jika layak selaku dua pasukan teratas Kumpulan D, Selangor bakal berdepan lawan dari Kumpulan C pada peringkat suku akhir, sama ada Kedah, Kelantan, Melaka atau UiTM FC.

Aksi final TM Piala Malaysia 2017 dijadual berlangsung pada 28 Oktober, seminggu selepas perlawanan terakhir Liga Super pada 21 Oktober.

Musim lalu, Selangor gagal mempertahankan kejuaraan apabila tewas 6-5 pada penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 dengan Kedah, lawan sama ditewaskan mereka dengan jaringan 2-0 pada final 2015 yang membawa kepada kejuaraan kali ke-33 buat Red Giants.