ABK17

Selangor bakal beraksi di Bukit Jalil

Selangor bakal menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah bagi menghadapi Liga Malaysia 2018.

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Subahan Kamal mengesahkan kelulusan permohonan menggunakan stadium tersebut dari Perbadanan Stadium Malaysia.

“Saya berterima kasih kepada PSM terutama kepada pengerusinya, Datuk Mohammad Sahfri Ab Aziz kerana memberi lampu hijau kepada Red Giants untuk beraksi di gelanggang berprestij ini,” kata Subahan.

Bagaimana pun, Stadium Nasional perlu melalui proses pemeriksaan venue pertandingan oleh pihak penganjur pertandingan, Football Malaysia LLP (FMLLP) sebelum ianya boleh digunakan secara rasmi.

“FAS telah menghantar permohonan kepada FMLLP untuk tujuan tersebut dan kini menunggu tarikh untuk proses pemeriksaan dan kelulusan sewajarnya.” kata beliau lagi.

Untuk rekod, Selangor kali terakhir menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah pada aksi awal Liga Super 2012 semasa Stadium Shah Alam dibaik pulih.