Penyerang import Selangor, Rufino Segovia mengakui cukup gembira kerana dapat membantu skuad Red Giants menempah tiket awal ke suku akhir Piala Malaysia 2017 meskipun akhirnya dirinya kembali dihimpit masalah kecederaan.

Rufino menjaringkan gol kemenangan Selangor pada masa kecederaan untuk menewaskan Terengganu 3-2 pada perlawanan keempat Kumpulan D di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Namun sejurus kemudian Rufino kembali merasai semula kesakitan akibat kecederaan hamstring yang dialaminya ketika aksi Liga Super 2017 bertemu Kedah, 15 Julai lalu.

“Bagi kami, ini satu kemenangan yang cukup penting kerana kami kini sudah pun layak ke suku akhir. Saya cukup gembira dengan kejayaan ini.

“Satu perlawanan yang cukup sukar. Terengganu pasukan yang baik dan boleh lihat pada separuh masa pertama, mereka lebih banyak menguasai bola dan kami pula terpaksa lebih bertahan.

“Tapi selepas kami berjaya menjaringkan gol penyamaan dan gol kedua, kami jadi lebih yakin untuk menang. Namun Terengganu berjaya menyamakan kedudukan 2-2 dan ketika itu kami rasa seri pun sudah cukup baik untuk kami.

“Akhirnya tuah lebih memihak kepada Selangor apabila saya berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir permainan,” kata Rufino yang masuk menggantikan K Kannan pada minit ke-54 selepas langsung tidak beraksi dalam tiga perlawanan iaitu ketika Selangor bertemu JDT, Kelantan dan Felda United.

Diminta mengulas mengenai jaringannya itu, Rufino berkata: “Ketika bola datang, saya nampak pertahanan Terengganu sudah jauh naik ke atas dan 50 peratus kebarangkalian dia mungkin terlepas bola itu. Mungkin tuah memihak kepada saya dan Selangor, peluang tersebut disudahkan dengan gol kemenangan.”

Rufino bagaimanapun akur dia hampir pasti tidak dapat diturunkan pada perlawanan kelima Piala Malaysia 2017 bertemu Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu ini akibat kecederaan hamstring yang kembali dialaminya itu.

“Selepas dua minggu mengalami kecederaan hamstring ketika bertemu Kedah, ada yang suruh saya tunggu lagi sebelum kembali beraksi tetapi saya tetap nak main juga. Saya tak sabar nak beraksi membantu rakan sepasukan.

“Mungkin nasib saya kurang baik apabila kembali merasai kesakitan selepas menjaringkan gol pada minit akhir itu. Apa pun, yang penting Selangor telah pun layak ke suku akhir dan saya pula memerlukan rehat beberapa hari untuk kembali pulih,” jelas Rufino.