Rufino sertai Merah Kuning

Selangor pagi ini menandatangani pemain kelahiran Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo atau lebih dikenali sebagai Rufino bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2017.

Rufino, 32, menjadi pilihan ketua jurulatih, P Maniam bagi mengambil-alih tempat pemain import dari Brazil, Juliano Mineiro yang masih bergelut dengan tahap kecergasan.

Beliau bakal menyertai Ugo Ukah, Andik Vermansah dan Francis Forkey Doe untuk melengkapkan kuota pemain import Merah Kuning musim ini.

Kontrak Rufino ditandatangani pagi ini di hadapan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Haji Mohd Ibrahim selepas urusan berkaitan pemeriksaan kesihatan dan dokumen-dokumen pendaftaran dimuktamadkan.

Berasal dari Madrid, Rufino pernah beraksi bersama Rayo Vallecano dan Atletico Madrid di divisyen utama Sepanyol sebelum berkelana ke beberapa kelab di Eropah termasuk Honved di Hungary dan Poli Timisoara di Romania.

Kelab terakhir beliau adalah Kitchee di Hong Kong di mana beliau beraksi selama dua musim sejak Januari 2016.

Boleh beraksi sebagai penyerang utama atau kedua, beliau dijangka akan bergandingan bersama Doe, Andik dan Amri Yahyah bagi menambah sengat jentera serangan Red Giants.