ABK17

Rufino: Peluang terbaik hadiah trofi buat Selangor

Penjaring utama Selangor musim ini, Rufino Segovia del Burgo menganggap trofi kejuaraan Piala FA 2018 paling sesuai untuk dijadikan hadiah terbaik sebagai tanda beliau membalas budi tatkala pasukan lain menganggap dirinya sudah tua untuk ditandatangani.

Rufino, 33, telah menyertai Selangor pada 9 Jun 2017 ketika jendela perpindahan kedua musim 2017 menggantikan pemain import dari Brazil, Juliano Mineiro. Prestasi baik yang dipamerkan membolehkan khidmatnya terus dikekalkan bagi menghadapi saingan musim 2018 ini.

Malam tadi, penyerang import dari Sepanyol itu meledak hatrik keduanya musim ini bagi memastikan kemenangan besar 4-0 ke atas PKNS FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sekali gus Red Giants kini hanya selangkah untuk ke pentas final yang kali terakhir dijejaki pada tahun 2009.

“Sejauh mana saya mahu memenangi trofi Piala FA ini? Bagi saya, sebelum datang ke Malaysia, tak banyak pasukan yang mahukan khidmat saya kerana mereka berasakan saya sudah tua.

“Tapi Selangor memberi saya peluang dan semua dalam pasukan ini banyak membantu. Jadi saya telah menganggap Selangor sebagai rumah saya dan cara terbaik membalas budi adalah dengan menghadiahkan trofi kejuaraan kepada Selangor,” kata Rufino pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Diminta mengulas mengenai prestasinya yang meledak hatrik malam tadi, sekali gus menjadikan lapan gol sudah dijaringkannya sepanjang kempen Piala FA 2018, Rufino enggan terlalu mendabik dada.

“Ada masanya saya tidak menjaringkan gol dan mungkin hanya satu gol tetapi pada perlawanan tersebut saya beraksi dengan baik. Tapi malam ini, saya memiliki tiga atau empat peluang dan berjaya menjaringkan tiga gol.

“Kami tahu ini satu perlawanan yang sukar. Jadi para pemain memberi fokus dengan baik sepanjang 90 minit permainan. Kami bermula dengan baik tetapi tidak mendapat banyak peluang pada awal permainan.

“Selepas berjaya menjaringkan gol pertama, nyata tuah memihak kepada saya apabila berjaya menambah gol kedua hanya dua minit selepas itu. Dan babak kedua, kami dapat dua lagi gol dan apa yang lebih penting, pasukan beraksi dengan baik dan kami menang perlawanan ini,” tegas Rufino.

Rufino turut berharap prestasi baik itu dapat diteruskan pada baki saingan Liga Super musim ini dan juga aksi separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu depan memandangkan Selangor kini pada rentak terbaik apabila tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir secara berturut.

“Kami memulakan musim ini dengan situasi yang sukar kerana kebanyakan pasukan lain dibarisi pemain senior berbanding kami sebuah pasukan baharu yang memerlukan masa untuk membentuk persefahaman di kalangan pemain muda dan import baharu.

“Tapi lihat ketika ini, pada lapan perlawanan terakhir kami hanya tewas sekali (kepada Kedah 2-1). Gandingan Willian Pacheco dan Alfonso De La Cruz di bahagian pertahanan juga semakin kuat dan itu memberikan keyakinan kepada pasukan.

“Di jentera depan pula, kami semakin baik dalam mencipta banyak peluang setiap kali perlawanan. Jadi saya rasa momentum dan rentak ini perlu dikekalkan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” jelas Rufino.

error: Content is protected !!