ABK17

Rufino: Kami kembali dapat keyakinan

Peledak utama Selangor, Rufino Segovia percaya kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam mampu melonjakkan semula moral dan tahap keyakinan para pemain Red Giants bagi mengharungi perlawanan selepas ini.

“Sudah tentu kemenangan ini telah memberikan semula keyakinan kepada kami. Saya gembira dapat menjaringkan dua gol dan apa yang lebih penting, Selangor kembali berjaya meraih kemenangan,” kata Rufino pada sidang media selepas perlawanan.

Tiga kekalahan berturut dalam saingan Liga Super 2018 kepada Terengganu 4-1, Pahang 3-1 dan Perak 3-0 pada minggu lalu nyata membuatkan barisan Red Giants tidak dianggap sebagai pilihan untuk memenangi pertembungan dengan Terengganu FC itu.

Namun dua ledakan Rufino serta satu lagi jaringan menerusi gol sulung Evan Dimas biarpun terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Shahrul Aizad Zulkifli telah memastikan skuad Red Giants yang kini dibimbing pengendali sementara, Nazliazmi Nasir melangkah ke suku akhir.

“Bagi saya, hari ini merupakan hari yang baik buat kami kerana berjaya bangkit biarpun pada awalnya kami ketinggalan dan pada masa yang sama, para penyokong Selangor juga mahukan kami menang perlawanan ini.

“Jelas pada perlawanan ini kami terus menerus berusaha mencabar bola daripada pihak lawan sehingga ke minit ke-95.

“Itu juga yang kami cuba lakukan ketika bertemu Perak minggu lalu tetapi kami lebih bernasib baik malam ini apabila segalanya menjadi,” kata Rufino.

Ditanya apakah rahsia Selangor mampu mempamerkan aksi lebih baik berbanding ketika tewas 4-1 kepada Terengganu FC di stadium sama pada aksi Liga Super pada 10 Februari lalu, Rufino berkata, tidak mahu tersingkir awal daripada saingan Piala FA menjadi tekad dia dan rakan sepasukan lain.

“Kami masuk ke padang untuk menghadapi perlawanan ini dengan menganggap ia umpama perlawanan akhir. Sebab kami tahu, jika kami tewas malam ini, kami akan tersingkir terus daripada saingan Piala FA. Akhirnya kami berjaya meneruskan kemaraan ke suku akhir,” jelasnya.

error: Content is protected !!