Rufino: Boleh menang 2-0 atau 3-0

Penyerang import Selangor, Rufino Segovia percaya tiada yang mustahil dalam bola sepak dan yakin skuad Red Giants mampu mencipta kejutan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 24 September ini.

Biarpun kecewa dengan kekalahan 3-2 kepada Kedah pada aksi suku akhir pertama di Selayang malam tadi, Rufino yang menjaringkan kedua-dua gol Selangor tidak mahu rakan sepasukan serta para penyokong Red Giants cepat berputus asa kerana masih ada baki 90 minit untuk perjuangan diteruskan.

“Sudah tentu saya berasa marah dan kecewa kerana kami pasukan yang lebih baik pada perlawanan ini. Tapi kadang kala ini yang berlaku dalam bola sepak, Kedah dapat dua peluang pada separuh masa pertama dan mereka berjaya memperoleh dua gol.

“Tapi saya gembira dengan respon diberikan rakan sepasukan apabila kami tetap berjuang dan berjaya melakukan persembahan yang lebih baik pada separuh masa kedua.

“Kami dapat gol pertama dan sebenarnya boleh segera mendapatkan gol kedua untuk mematikan terus perjuangan pasukan lawan. Namun, Kedah pula dapat gol ketiga dan mujur kami segera kembali merapatkan kedudukan 3-2, cuma gagal menemui gol penyamaan,” kata Rufino pada sidang media selepas perlawanan.

Biarpun gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada aksi malam tadi, Rufino tetap positif dalam usaha Selangor untuk memburu kemenangan sekurang-kurangnya dengan defisit dua gol pada suku akhir kedua nanti.

“Jika dilihat pada perlawanan ini, kami yang memiliki lebih banyak peluang berbanding Kedah. Jadi saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap rakan-rakan sepasukan yang Selangor adalah pasukan yang baik.

“Jadi tempoh seminggu ini kami perlu mempersiapkan diri dengan lebih baik dan saya rasa Selangor boleh menang di Alor Setar nanti.

“Dalam sesuatu perlawanan, kamu boleh menang 2-0 atau 3-0 dan itu sesuatu yang tidak mustahil. Jika ia berjaya dilakukan pada aksi kedua nanti, sudah tentu Selangor boleh mara ke separuh akhir menerusi kelebihan agregat,” jelas Rufino.