Red Giants tetap beri saingan

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap pasukannya sudah memberikan persembahan baik, namun kesilapan individu telah menghadiahkan gol mudah buat pasukan lawan dan menyebabkan skuad Red Giants itu tewas 2-1 kepada Kedah pada perlawanan ke-12 Liga Super 2018, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Kedah kendalian Nidzam Adzha Yusoff berjaya mendahului 2-0 menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-28 dan Liridon Krasniqi minit ke-52 sebelum pemain gantian, Syahmi Safari berjaya merapatkan kedudukan buat Selangor pada minit ke-70.

“Kita kalah tetapi kita memberikan saingan yang agak baik kepada Kedah terutama pada 30 minit terakhir separuh masa kedua.

“Tapi inilah bola sepak. Apabila kita melepaskan peluang-peluang terbaik untuk menjaringkan gol terutama pada separuh masa pertama dan Kedah pula yang mendapat hanya dua tiga peluang terbaik berjaya menyudahkannya dengan gol, itu yang menjadi pemisah.

“Gol kedua Kedah cukup mudah. Pemain perlu tahu betapa pentingnya situasi-situasi tertentu ketika kita sedang ketinggalan dan kita telah dihukum dengan kesilapan individu di barisan pertahanan.

“Apa pun kekalahan malam ini bukan saya letakkan pada seorang, keseluruhan pasukan perlu bertanggungjawab terutama saya sebagai jurulatih,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan.

Ditanya adakah Selangor akan mengambil pemain baharu sementara jendela perpindahan kedua masih lagi dibuka ketika ini, Nazliazmi enggan memberikan komen lanjut dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.

“Saya tak boleh komen lanjut. Saya hanya menerima arahan daripada pihak pengurusan untuk hal berkenaan.

“Tapi memang ada beberapa pemain dari pasukan lain yang menawarkan diri untuk bermain dengan Selangor. Pada hemah saya, ia sesuatu yang baik untuk pasukan.

“Bagaimanapun buat masa ini, saya perlu terus yakin dan percaya dengan pemain sedia ada. Jika dilihat malam ini, ada sedikit peningkatan berbanding ketika kita tewas 4-0 kepada Kedah di Stadium Darul Aman,” jelas Nazliazmi.