Piala Walikota Padang: Selangor 2 (3) Semen Padang 2 (4)

Selangor gagal melangkah ke perlawanan penentuan tempat ketiga kejohanan pra-musim Piala Walikota Padang 2015 selepas tewas 4-3 penentuan sepakan penalti kepada Semen Padang di Stadium H. Agus Salim, malam tadi.

Masa penuh 90 minit berakhir seri 2-2 dan mengikut peraturan kejohanan, sebarang perlawanan yang berakhir seri perlu dilangsungkan penentuan sepakan penalti sebanyak tiga sepakan untuk memberikan salah satu pasukan tambahan satu mata.

Tiga sepakan penalti Semen Padang disudahkan Irsyad Maulana, Safri Irfandi dan Hendra Adi Bayauw menewaskan penjaga gol Selangor, Syamim Othman manakala tiga sepakan Selangor berjaya disempurnakan Abdul Hadi Yahya, Robert Cornthwaite dan Afiq Azmi mengatasi penjaga gol tuan rumah, Fakhrurrozi.

Selepas terikat 3-3, sepakan penalti ‘sudden death’ diteruskan dengan Septia Hadi berjaya menewaskan Syamim tetapi sepakan keempat Selangor diambil Nazmi Faiz Mansor pula sekadar melewati palang gol untuk Semen Padang menang 4-3.

Keputusan itu menyaksikan Persiba Balikpapan menjuarai Kumpulan B dengan enam mata maksimum selepas menewaskan Semen Padang 1-0 dan Selangor 1-0 diikuti Semen Padang sebagai naib juara dengan dua mata dan Selangor satu mata.

Persiba Balikpapan akan bertemu juara Kumpulan A, Persib Bandung pada Khamis ini dan terlebih dahulu sebelum final itu, Semen Padang akan bertemu naib juara Kumpulan A, Pusamania Borneo FC untuk perlawanan penentuan tempat ketiga bagi kejohanan disertai enam pasukan ini termasuk satu lagi pasukan, PSP Padang.

Terdahulu pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic hanya mengekalkan seorang pemain iaitu kapten, Shahrom Kalam daripada kesebelasan utama yang beraksi perlawanan sulung bertemu Persiba Balikpapan, 24 jam sebelum itu.

Biarpun Semen Padang mendahului 1-0 menerusi jaringan Airlangga pada minit ke-22, Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan kemas A Thamil Arasu yang menyambut baik hantaran lintang Shazlan Alias pada minit ke-37.

Semen Padang sekali lagi di hadapan apabila Esteban Viscarra menanduk masuk gol kedua pada minit ke-49 sebelum Selangor sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 apabila Afiq melonjak tinggi menanduk hantaran lintang Andik Vermansah pada minit ke-75.

Afiq bagaimanapun terlepas peluang untuk menjaringkan gol kemenangan Selangor apabila rembatannya pada masa kecederaan ketika berdepan satu lawan satu dengan Fakhrurrozi berjaya ditepis keluar penjaga gol Semen Padang itu.

“Sekali lagi para pemain berjaya mempamerkan persembahan cukup baik sama seperti perlawanan pertama bertemu Persiba Balikpapan biarpun saya menukar hampir keseluruhan kesebelasan utama kecuali Shahrom untuk perlawanan kedua ini.

“Bagi saya, kami sepatutnya boleh menang kedua-dua perlawanan dan pada perlawanan ini, Afiq hanya berdepan penjaga gol pada minit terakhir tetapi diselamatkan penjaga gol. Inilah bola sepak.

“Dalam penentuan sepakan penalti, apa-apa pun boleh berlaku dan saya simpati dengan Nazmi Faiz kerana gagal menyempurnakan sepakan keempat tetapi dia beraksi baik sepanjang perlawanan.

“Saya beri peluang semua pemain beraksi (kecuali Bunyamin Umar, K Gurusamy dan S Subramaniam) sepanjang kejohanan ini dan saya gembira dengan apa yang kami perolehi di sini. Satu persiapan pra-musim yang baik,” kata Durakovic kepada FASelangor.my selepas perlawanan tadi.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali (1. Syamim Othman ’45), 4. Shazlan Alias, 5. Shahrom Kalam (c) (2. Robert Cornthwaite ’45), 17. Rizal Fahmi Rosid, 18. K Thanaraj, 7. Andik Vermansah, 10. Nazmi Faiz Mansor, 15. Raimi Md Nor (14. Abdul Hadi Yahya ’88), 24. Fittri Shazwan Raduwan, 9. A Thamil Arasu, 19. Afiq Azmi.

Tidak beraksi di bangku simpanan: 6. Azmi Muslim, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 16. Saiful Ridzuwan Selamat, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Tiada di bangku simpanan: 21. Hamsani Ahmad, 3. S Subramaniam, 8. Leandro Dos Santos, 12. Bunyamin Umar, 13. Guilherme De Paula, 23. S Veenod, 25. K Gurusamy.