Piala Walikota Padang: Selangor 0 Persiba Balikpapan 1

Selangor tewas 1-0 kepada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Persiba Balikpapan pada perlawanan sulung di kejohanan pra-musim Piala Walikota Padang 2015 yang berlangsung di Stadium H. Agus Salim, petang tadi.

Kemenangan membolehkan Persiba Balikpapan kendalian Edi Simon Badawi mara ke final Khamis ini selepas mereka menang 1-0 ke atas Semen Padang, semalam untuk mengumpul enam mata maksimum dan muncul juara Kumpulan B.

Perlawanan terakhir Kumpulan B antara Selangor dan Semen Padang, jam 8 malam esok (waktu Malaysia) bakal menentukan pasukan mana untuk muncul naib juara kumpulan dan layak ke perlawanan tempat ketiga/keempat, Khamis ini.

Pada perlawanan petang tadi, Selangor tewas menerusi sepakan penalti I Made Wirahadi pada minit ke-87 selepas pengadil tidak membenarkan jaringan Selangor menerusi sepakan penalti Abdul Hadi Yahya pada minit ke-18.

“Saya rasa ini satu perlawanan yang baik dan para pemain saya beraksi dengan cukup baik. Kami sewajarnya menang perlawanan ini kerana memiliki banyak peluang termasuk jaringan menerusi sepakan penalti Abdul Hadi yang tidak disahkan pengadil.

“Sepakan penalti lawan itu pula saya rasa tak patut penalti sebenarnya. Apa pun perlawanan sudah berakhir. Kamu semua sendiri boleh nampak. Hanya satu kesilapan pengadil, pasukan lawan menang perlawanan ini,” kata jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic pada sidang media selepas perlawanan.

Selangor terlebih dahulu dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan Persiba Balikpapan, Absor menjatuhkan penyerang import baharu dari Brazil, Guilherme de Paula pada minit ke-18.

Sepakan penalti diambil Abdul Hadi berjaya diselamatkan penjaga gol Persiba Balikpapan, Ngurah Arya dan pemain sayap kanan Selangor itu berjaya menyudahkan bola muntah ke dalam gol, namun dibatalkan pengadil, Aprisman Aranda kerana mendakwa bola sudah terkena tangannya.

Berbeza pula dengan insiden sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Persiba Balikpapan pada minit ke-87, Hamsani jelas menerjah ke arah bola tetapi pada masa sama pemain lawan, Basry Lohy terjatuh akibat rempuhan berkenaan.

Enggan terus memikirkan kekalahan itu, Durakovic, 50, membayangkan akan menurunkan kesebelasan utama berbeza bertemu Semen Padang malam esok memandangkan jarak antara dua perlawanan itu hanya 24 jam.

“Saya tak turunkan Andik Vermansah kerana hanya tiga import dibenarkan penganjur berada di atas padang. Jadi saya akan turunkan Andik untuk perlawanan esok.

“Begitu juga pemain lain. Ini perlawanan pra-musim dan saya akan beri semua peluang beraksi. Hari ini saya beri peluang kepada dua pemain muda, Saiful Ridzuwan Selamat dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

“Saya gembira dengan persembahan kedua-dua mereka. Sudah pasti banyak perubahan dalam kesebelasan utama esok kerana cuaca hari ini cukup panas beraksi jam 4.15 petang dengan padang pula yang tidak begitu rata,” jelas Durakovic.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 6. Azmi Muslim, 14. Abdul Hadi Yahya (19. Afiq Azmi ’75), 16. Saiful Ridzuwan Selamat (24. Fittri Shazwan Raduwan ’75), 23. S Veenod, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 8. Leandro, 13. Guilherme.

Tidak beraksi di bangku simpanan: 22. Norazlan Razali, 4. Shazlan Alias, 7. Andik Vermansah, 15. Raimi Md Nor, 17. Rizal Fahmi Rosid.

Tiada di bangku simpanan: 1. Syamim Othman, 3. S Subramaniam, 9. A Thamil Arasu, 10. Nazmi Faiz Mansor, 12. Bunyamin Umar, 18. K Thanaraj, 25. K Gurusamy.