Piala Tun Sharifah Rodziah: Review Minggu 1

Mengulas tentang keputusan perlawanan minggu pertama pasukan wanita Selangor ketika bertemu ATM, Ketua Jurulatih Zainal Nordin berkata, rata-rata anak didiknya telah mengikut arahan dengan baik dan bermain seperti apa yang dirancang sebelum perlawanan.

“Semasa perlawanan persahabatan menentang ATM yang lalu, kami tewas kepada mereka tetapi Alhamdulillah, pada perlawanan kali ini, pemain kami telah bermain dengan bagus dan dapat mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas mereka.”

Tambah Zainal, beliau sangat berpuas hati dengan corak permainan pasukan biarpun beberapa pemain utama skuad Merah Kuning masih dibelenggu kecederaan.

Ketika diminta mengulas mengenai perlawanan kedua menentang Sabah yang menyaksikan mereka tewas 4-0, beliau mendedahkan beberapa pertukaran terpaksa dilakukan memandangkan jarak di antara perlawanan yang singkat.

“Kami telah bermain pada waktu petang pada hari pertama kejohanan dan menghadapi perlawanan kedua pada waktu pagi keesokan harinya. Jadi, masa untuk rehat yang singkat membuatkan saya terpaksa membuat beberapa pertukaran dan merehatkan beberapa pemain. Dari situ, ada sedikit kelonggaran semasa bertemu dengan Sabah.”

“Tetapi bagi saya, Sabah sememangnya adalah satu pasukan yang sangat baik kerana kebanyakkan pemain pasukan Sabah juga merupakan pemain skuad kebangsaan,” jelas Zainal.

Zainal juga sempat membandingkan persembahan skuad kendaliannya ketika menentang ATM dan menentang Sabah setelah beberapa perubahan taktikal dilakukan.

“Semasa menentang ATM, saya dapat lihat yang pemain Selangor lebih berkeyakinan, dari segi kawalan bola, melakukan hantaran, semuanya bagus. Tetapi apabila berjumpa Sabah, mereka tahu yang Sabah adalah pasukan yang baik, anak didik saya tampak agak gemuruh dan banyak melakukan kesilapan yang jarang sekali berlaku.”

Mengulas mengenai 2 lagi baki saingan peringkat kumpulan menentang Kedah dan Melaka, beberapa perkara penting bakal ditekankan dalam sesi latihan esok. Antara perkara yang bakal diberi perhatian oleh Zainal adalah cara-cara untuk memperbaiki kesilapan dari 2 perlawanan yang telah berlangsung.

Skuad bola sepak wanita Kedah dan Melaka juga dilihat sebagai antara pasukan yang mampu memberi saingan yang sengit kerana mempunyai barisan pemain pertahanan yang laju, mempunyai tahap keyakinan yang tinggi serta kawalan bola yang kemas.

“Selepas perlawanan dengan Sabah, kita akan menggunakan strategi lain dan buat sesuatu supaya kita dapat atasi lawan seterusnya. Saya akan terus berikan semangat kepada pemain-pemain agar tidak gemuruh. Siapa lawan kita lepas ini, kita langgar,” ulas Zainal ketika mengakhiri temubual.