Piala Sultan Selangor: Selangor 3 Singapura 1

Selangor muncul juara Piala Sultan Selangor 2012 selepas menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan tahunan itu yang masuk edisi ke-11 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan Selangor yang tewas tiga edisi berturut-turut iaitu 0-3 (2009), 0-6 (2010) dan 0-1 (2011).

Selepas 11 edisi, Selangor dan Singapura kini masing-masing enam kali muncul juara termasuk bergelar juara bersama pada 2004.

Pada aksi malam tadi yang dihadiri kira-kira 70,000 penonton, Singapura yang kali ini dibarisi gabungan pemain-pemain yang beraksi di Liga Singapura termasuk beberapa pemain import berjaya mendahului 1-0.

Aleksandar Duric yang tampil selaku kapten dalam skuad kendalian V Kanakarajan itu berjaya mengatasi dua pemain pertahanan Selangor sebelum melepaskan rembatan jarak dekat menewaskan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali pada minit ke-23.

Selangor yang tersentak dengan jaringan itu bangkit untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-32 hasil sepakan penalti ketua pasukan, Safiq Rahim selepas penyerang, Amri Yahyah dijatuhkan pertahanan Singapura, Hafiz Abu Sujad.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga rehat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor terus menyerang dan hasilnya gol kedua menjelma pada minit ke-54 menerusi sepakan cantik Bosko Balaban dari luar kotak penalti yang berjaya memperdayakan penjaga gol Singapura, Ito Takuma.

Pemain gantian Selangor, Rozaimi Abd Rahman menamatkan terus sisa perjuangan Singapura apabila tenang menyudahkan gol ketiga Selangor pada minit ke-88.

Untuk edisi kali ke-11 ini, Selangor yang dibimbing jurulatih Irfan Bakti Abu Salim menyenaraikan tiga pemain jemputan – Safee Sali (Pelita Jaya), Helmi Loussaief dan Dawood Nicoise (PKNS).

SELANGOR: Norazlan Razali, Bunyamin Umar, Ramez Dayoub, Nasriq Baharom (Razman Roslan ’71), P Gunalan, Helmi Loussaief (Azidan Sarudin ’71), Safiq Rahim (c), S Veenod (Solihin Kanasian ’80), Safee Sali (Fitri Shazwan Raduwan ’90), Amri Yahyah (Rozaimi Abd Rahman ’64), Bosko Balaban (Dawood Nicoise ’58).

SINGAPURA: Ito Takuma (Ahmadulhaq Che Omar ’90), Jufri Taha, Syed Fadhil Syed Naser (Faritz Abdul Hameed ’77), Kawakami Norhiro, Hafiz Abu Sujad, Ismadi Mukhtar (Amy Recha Pristifana Samion ’79), Shah Hirul Yusof (Delwinder Singh ’65), Fabian Kwok Wing Hong, Jamil Ali (Fazli Ayob ’55), Stefan Milojevic (Delgado Carlos Alberto ’62), Aleksandar Duric (c).

Terdahulu, pada perlawanan pembukaan malam tadi, hasrat Veteran Selangor untuk meraih kejuaraan ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas mereka tewas 1-2 kepada Veteran Singapura.

Selepas menang 1-0 (2010) dan 3-1 (2011), Veteran Selangor tumbang pada edisi ke-11 kali ini selepas Fandi Ahmad menjaringkan gol kemenangan Veteran Singapura, empat minit sebelum aksi 40 minit permainan berakhir.

Steven Tan Teng Chuan meletakkan Veteran Singapura di hadapan pada minit kesembilan sebelum Zainal Abidin Hassan menyamakan kedudukan buat Veteran Selangor hasil sepakan percuma menarik pada minir ke-13.

Veteran Selangor kali ini turut dibarisi antaranya Datuk Soh Chin Aun, Datuk K Rajagobal, K Gunalan, K Sanbagamaran, Reduan Abdullah, Azlan Johar, Shahrin Majid, Annuar Abu Bakar, Khan Hung Meng, Ismail Ibrahim, P Maniam dan Yap Kam Choon.

Veteran Singapura pula dibarisi antaranya Malek Awab, R Suria Murthi, Yahya Madon, Nazri Nasir dan V Sundramoorthy.

Selepas 11 edisi, Veteran Selangor dan Veteran Singapura berkongsi enam kejuaraan termasuk bergelar juara bersama pada edisi sulung 2001.

Saingan kali ini turut dimeriahkan dengan nyanyian dua penyanyi terkemuka negara, Awie dan Ziana Zain pada waktu rehat babak pertama kedua-dua perlawanan.