ABK17
selangor juara Piala Presiden 2017

Piala Presiden 2017: Selangor muncul juara

Selangor B21 muncul juara Piala Presiden dengan menewaskan Terengganu B21 2-1 secara agregat meskipun tewas 0-1 dalam Final 2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Kejayaan ini sekaligus menamatkan penantian sembilan tahun skuad Merah Kuning yang kali terakhir menjulang piala tersebut pada 2008.

Jurulatih Selangor, Omar Ali mengekalkan kesebelasan utama yang mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi Final 1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu.

Walaupun begitu, tuan rumah bermula lebih agresif untuk memadamkan kelebihan lawan apabila dua percubaan awal menerusi Aliff Fitri Jefri dan Rahmar Makasuf masing-masing pada minit ke-8 dan 10 menguji kubu Selangor.

Percubaan pertama Selangor hadir pada minit ke-18 namun sepakan jarak jauh penjaring terbanyak pasukan, Faizzudin Mohd Abidin mudah diselamatkan penjaga gol Terengganu, Shafawi Mohamad.

Skuad kendalian Mustaffa Kamal Abd Wahab akhirnya berjaya memperolehi gol semangat yang dicari pada minit ke-25 menerusi sepakan percuma cantik Haidhir Suhaini yang menuju ke sudut kanan gawang Selangor seterusnya menewaskan Muhammad Haziq Ridwan.

Haziq kemudiannya berjaya menidakkan pasukan tuan rumah 10 minit kemudian apabila menyelamatkan percubaan Firas Mohd Tarmizi dalam situasi satu lawan satu bagi memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Terengganu meneruskan dominasi di babak kedua bagi mencari gol kedua bagi menyamakan kedudukan secara agregat namun dinafikan keutuhan benteng Gergasi Merah.

Selepas hampir satu jam aksi berlangsung, kontroversi tercetus akibat kekeliruan pengadil Muhammad Almi Abdullah yang melayangkan kad merah kepada Amirul Ashraf Ariffin sebelum menarik balik keputusan tersebut selepas mendapat pandangan pegawai keempat perlawanan.

Selepas menyerap asakan lawan, Syahmi Safari hampir mengejutkan Terengganu apabila tolakan beliau selepas menerima hantaran Kugan Dhevarajan sedikit sipi di kiri pintu gol biarpun Shafawi telah tertewas.

Debaran buat kira-kira 150 penyokong Merah Kuning yang hadir kian memuncak apabila Sang Penyu mengasak habis-habisan pada sepuluh minit terakhir perlawanan namun keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekaligus memastikan Selangor muncul juara buat kali kelima sejak piala tersebut dipertandingkan pada 1985.

Selaku juara, Selangor berjaya merangkul piala pusingan dan hadiah wang tunai RM150,000 manakala Terengganu selaku naib juara menerima wang tunai RM100,000.

TERENGGANU: 25-Shafawi Mohamad (PG), 2-Fazirhikwan Mat Rani (K), 3-Samsul Ikram Daud, 7-Haidhir Suhaini, 8-Aliff Fitri Jefri, 10-Firas Mohd Tarmizi (18-Shafiq Shahrizan 80’), 17-Rahmat Makasuf , 19-Ridzuan Mohd Razali (11-Wan Fazli Wan Ghazali 76’), 20-Dhiyaulrahman Hasry, 26-Alif Zakaria, 27-Al Imran Abd Aziz (15-Tarmizi Hakim Abd Rahman 69’)

SELANGOR: 25-Haziq Ridwan (PG) (K), 5-M Tamil Maran, 12-Azizul Baharuddin (9-Najib Abdullah 87’), 17-D Kugan, 31-Amirul Ashraf Ariffin, 32-K Sarkunan, 33-A Namathevan, 34-Badrul Amin Rusalan (24-Syazwan Salihin 79’), 35-Faizzudin Abidin (3-Syukri Azman 90+1’), 36-K Kannan, 37-Syahmi Safari.

Pengadil: Muhammad Almi Abdullah