Juara 33 kali, Selangor muncul tiga pasukan terawal berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2017 ketika saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan selepas menewaskan Terengganu 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Selain PKNP FC dari Kumpulan A dan Perak dari Kumpulan B, skuad Red Giants kendalian P Maniam menempah slot ke suku akhir selepas mendahului Kumpulan D dengan 10 mata diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan tujuh mata, Terengganu dengan tiga mata dan Sarawak dengan satu mata.

Pada aksi malam tadi, Maniam tidak menurunkan barisan terkuatnya apabila kapten, Razman Roslan serta dua pemain import, Rufino Segovia dan Andik Vermansah hanya diletakkan di bangku simpanan manakala penjaga gol utama, Khairulazhan Khalid, Ugo Ukah dan Amri Yahyah tidak dibawa ke Kuala Terengganu.

Terengganu kendalian Irfan Bakti Abu Salim berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi penyudah depan gol Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-23 selepas percubaan awal Ferris Danial Mat Nasir gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor bagaimanapun berjaya membalas menerusi dua gol pantas pada awal babak kedua menerusi sepakan percuma Francis Forkey Doe untuk gol penyamaan pada minit ke-51 disusuli gol pendahuluan hasil tandukan Syahmi Safari selepas sepakan percuma Raimi Md Nor pada minit ke-56.

Terengganu kemudian berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tandukan Kipre Tchetche hasil hantaran Adib Aizuddin Ab Latif pada minit ke-78, namun Rufino yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan Selangor pada masa kecederaan menerusi satu serangan balas.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu ini untuk perlawanan kelima Kumpulan D.

TERENGGANU: 29. Suffian Ab Rahman; 19. Firdaus Faudzi, 5. Lazaro Vinicius (C), 17. Nasrullah Haniff Johan, 22. Adib Aizuddin Ab Latif; 20. Ridzuan Abdunloh Pula (12. Ezaidy Khadar 76′), 13. Abdul Latiff Suhaimi (8. Gabriel Davis 51′), 15. Faiz Nasir, 27. Ismail Faruqi Ashari (6. Abdul Shukur Jusoh 63′); 10-Ferris Danial Mat Nasir, 23. Kipre Tchetche.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 12. Bunyamin Umar, 9. Adam Nor Azlin, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid; 2. A Namathevan, 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 15. Raimi Md Nor (C); 27. Nurshamil Abd Ghani (23. S Veenod 73′), 10. Francis Forkey Doe (7. Andik Vermansah 79′), 3. K Kannan (30. Rufino Segovia 54′).

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed