Piala Malaysia: T-Team 0 Selangor 3

Juara bertahan, Selangor melangkah bergaya ke final Piala Malaysia 2016 untuk memburu kejuaraan kali ke-34 selepas mudah menewaskan T-Team 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk mara menerusi agregat 5-1.

Selepas menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, 1 Oktober lalu, skuad kendalian jurulatih sementara, K Gunalan itu memperoleh kemenangan hasil jaringan R Gopinathan pada minit kedua, Ugochukwu Ukah minit ke-19 dan ketua pasukan, Andik Vermansah pada masa kecederaan babak kedua.

Menanti Selangor di pentas final di Stadium Shah Alam, 30 Oktober ini ialah Kedah, lawan sama yang ditewaskan Selangor 2-0 pada final tahun lalu menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri, selepas skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu mara menerusi agregat 2-1 selepas mengikat PDRM 0-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Di Kuala Terengganu, Selangor tidak menunggu lama apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas hantaran Andik dari sebelah kanan mudah disudahkan Gopinathan di depan pintu gol T-Team untuk mendahului 1-0 dan agregat 3-1.

T-Team kendalian Rahmad Darmawan terus tertekan apabila Selangor berjaya menambah gol kedua pada minit ke-19, kali ini giliran Ukah menyudahkan peluang terbuka di depan pintu gol selepas percubaan awal Patrick Ronaldinho Wleh ditepis penjaga gol T-Team, Ilham Amirullah Razali untuk agregat semasa 4-1.

Bersambung babak kedua, Selangor terus berpeluang untuk menambah jaringan, namun percubaan Gopinathan dalam kotak penalti pada minit ke-54 berjaya ditepis Ilham manakala percubaan sambil berlari Andik menerusi satu serangan balas pada minit ke-70 turut berjaya diselamatkan penjaga gol T-Team itu.

Di gawang Selangor pula, Khairulazhan Khalid turut bertindak cemerlang untuk menafikan pintu golnya dibolosi apabila tangkas menyelamatkan sepakan deras Safawi Rasid pada minit ke-73 dan tandukan bebas Dilshod Sharofetdinov di dalam kotak penalti pada minit ke-79.

Ketika kedudukan 2-0 dilihat seakan kekal selepas tambahan masa empat minit diberikan pengadil, Andik turut mencatat namanya dalam senarai penjaring apabila berjaya menyudahkan peluang di depan pintu gol T-Team untuk gol ketiga Selangor, sekali gus melangkah bergaya ke final menerusi agregat 5-1.

T-TEAM: 23. Ilham Amirullah Razali, 4. Kamal Azizi Mohd Zabri, 2. Wan Amirzafran Wan Nadris, 5. Hasbullah Awang (C), 34. Arif Fadzilah Abu Bakar, 8. Badrul Hisyam Morris (14. Izzaq Faris Ramlan 44′), 30. Dilshod Sharofetdinov, 10. Makan Konate, 13. Asrol Ibrahim (18. Nor Hakim Hassan 74′), 37. Safawi Rasid, 11. Patrick Cruz (22. Ramzul Zahini Adenan 80′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar (13. Razman Roslan 65′), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid (5. Shahrom Abdul Kalam 85′), 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 23. S Veenod, 25. R Gopinathan (9. Adam Nor Azlin 75′), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Zamzaidi Katimin