Piala Malaysia: T-Team 0 Selangor 1

Selangor berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari gelanggang lawan selepas menewaskan T-Team 1-0 pada perlawanan kedua Kumpulan C, TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Gol tunggal penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula pada minit ke-51 sudah cukup untuk memberikan kemenangan sulung buat Selangor selepas skuad kendalian Mehmet Durakovic itu tewas 3-0 kepada Kelantan pada aksi sulung di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Biarpun turun tanpa pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor yang masih digantung satu lagi perlawanan, Selangor kembali mempertaruhkan tonggak pertahanan import, Robert Cornthwaite yang pulih daripada kecederaan dan pemain sayap, Ahmad Hazwan Bakri yang selesai penggantungan satu perlawanan.

Selangor menguji kubu T-Team pada awal babak permainan tetapi tandukan pemain tengah, K Gurusamy selepas sepakan sudut pada minit keempat sedikit melepasi palang gol manakala sepakan percuma diambil Ahmad Hazwan, minit ke-12 melewati gawang tuan rumah dikawal Shahril Saa’ri.

Pada minit ke-22, De Paula pula melepaskan rembatan kencang namun sempat ditepis keluar penjaga gol T-Team itu.

Pasukan tuan rumah kemudian beroleh tiga sepakan sudut berturut-turut, namun gagal membuahkan hasil dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-51 selepas sepakan deras De Paula gagal diselamatkan Shahril.

T-Team kendalian Tomislav Steinbruckner kemudian berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi kecekapan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali menidakkan dua peluang terbaik mereka pada minit ke-60.

Peluang terbaik Selangor untuk menambah jaringan pula hadir pada minit ke-71, namun percubaan Gurusamy berjaya diselamatkan Shahril sebelum sepakan susulan Ahmad Hazwan dihalang pula pertahanan T-Team.

Selangor selepas ini akan bertemu Felda United untuk perlawanan ketiga Kumpulan C di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (26 September).

T-TEAM: 25. Shahril Saa’ri, 11. Hassan Basri, 5. Hasbullah Awang, 17. Marzuki Yusof (c), 34. Arif Fadzilah Abu Bakar, 9. Syam Shahril Ghulam (33. Zulhanizam Shafine 36′), 8. Badrul Hisyam Morris (13. Asrol Ibrahim 78′), 44. Josip Milardovic, 31. Zarulizwan Mazlan (21. Rosdi Zakaria 58′), 7. Sadriddin Abdullaev, 49. Tomislav Busic.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos (23. S Veenod 73′), 25. K Gurusamy, 11. Ahmad Hazwan Bakri (15. Raimi Md Nor 87′), 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahaya 58′), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar