Piala Malaysia: Selangor 3 Pahang 0

Juara bertahan, Selangor kembali mencerahkan peluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia 2016 selepas berjaya bangkit menewaskan Pahang 3-0 pada perlawanan keempat Kumpulan B di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tampil kali pertama tanpa jurulatih Zainal Abidin Hassan yang telah dipecat selepas empat kekalahan berturut dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia, hatrik daripada Patrick Ronaldinho Wleh menghadiahkan langkah kanan buat pengendali sementara Red Giants, K Gunalan.

Gunalan terpaksa melakukan rombakan besar ekoran masalah kecederaan dan kesihatan melibatkan beberapa tonggak utama antaranya penjaga gol Norazlan Razali, Razman Roslan, Ugochukwu Ukah, Raimi Md Nor, Ahmad Hazwan Bakri, Mauro Olivi serta kapten, Shahrom Kalam yang masih belum pulih.

Selangor beroleh gol pertama pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti yang mudah disudahkan Ronaldinho selepas Andik Vermansah yang diberi peranan selaku kapten telah dijatuhkan kapten Pahang, Matthew Davies.

Menuju tamat babak pertama, Selangor berpeluang menambah jaringan, namun sepakan deras Andik menggegar palang pada minit ke-45 disusuli percubaan R Gopinathan yang sekadar menuju ke tiang kanan gawang Pahang pada masa kecederaan.

Bersambung babak kedua, gol kedua Selangor hadir pada minit ke-66 selepas lorongan baik Gopinathan dari sebelah kanan mudah disudahkan Ronaldinho di depan pintu gol untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.

Gunalan melakukan pertukaran pertama pada minit ke-78 dengan membawa masuk pemain muda, Adam Nor Azlin menggantikan Gopinathan.

Hasilnya pada minit ke-81, Adam Nor melarikan bola dengan baik dari sebelah kiri sebelum hantaran kemasnya ke depan pintu gol Pahang pantas dikuis masuk Ronaldinho untuk jaringan hatrik daripada penyerang Liberia itu.

Biarpun Pahang kendalian Razip Ismail terus mencuba untuk membolosi gawang Selangor dikawal Khairulazhan Khalid, gandingan pertahanan diterajui Rizal Fahmi Rosid serta S Subramaniam yang kali pertama beraksi musim ini tampak begitu kental untuk dilepasi jentera depan Pahang diketuai Pablo Vranjican.

Selepas empat perlawanan, Kelantan sudah pun mengesahkan tempat ke suku akhir dari Kumpulan B dengan 10 mata selepas menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Selayang, diikuti Selangor di tangga kedua dengan 7 mata manakala Kuala Lumpur dan Pahang masing-masing baru mengumpul 3 mata.

Perlawanan kelima Kumpulan B, Selangor akan bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar, 17. Rizal Fahmi Rosid, 19. S Subramaniam, 3. Azmi Muslim (31. Syukri Azman 86′), 7. Andik Vermansah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 23. S Veenod, 10. Nazmi Faiz Mansor, 25. R Gopinathan (9. Adam Nor Azlin 78′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh (14. Abdul Hadi Yahaya 88′).

PAHANG: 51. Helmi Eliza Elias, 2. Matthew Davies (C) (17. Rizua Shafiqi 85′), 23. Jailton de Campos, 3. Saiful Nizam Miswan, 32. Helmi Husaini (24. R Dinesh 67′), 8. A Salamon Raj, 5. Claudio Meneses, 14. Faisal Rosli, 16. R Kogileswaran (6. D Saarvindran 61′), 10. Faysal Shayesteh, 9. Pablo Vranjican.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob