Piala Malaysia: Selangor 3 Kelantan 3

Juara bertahan, Selangor dibolosi gol pada saat akhir permainan untuk mencatat keputusan seri 3-3 dengan Kelantan pada perlawanan kedua Kumpulan B bagi saingan Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor yang menang perlawanan pertama dengan menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di gelanggang sama, 12 Julai lalu dilihat seakan mampu untuk meraih kemenangan kedua berturut selepas mendahului 3-1 menerusi gol Mauro Olivi dan dua jaringan Patrick Ronaldinho Wleh.

Namun dua pemain gantian, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Abdul Manaf Mamat menjadi penyelamat Kelantan apabila menjaringkan gol kedua dan ketiga pelawat selepas Wander Luiz merapatkan kedudukan 2-1 pada masa kecederaan babak pertama.

Selangor kendalian Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu memperoleh gol pertama pada minit ke-30 selepas sepakan penjuru R Gopinathan disambar Ronaldinho tetapi sempat ditepis penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dan bola melantun tepat di hadapan Olivi yang pantas melepaskan rembatan menerjah jaring.

Gol kedua Selangor menyusul pada minit ke-39 apabila Ronaldinho melonjak tinggi mengatasi pertahanan Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah untuk menanduk masuk bola hantaran Raimi Md Nor dari sebelah kiri menewaskan Khairul Fahmi.

Tatkala permainan memasuki tambahan masa satu minit untuk separuh masa pertama, Kelantan dihadiahkan sepakan percuma dalam kotak penalti selepas kesalahan dilakukan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali dan sepakan percuma pendek diambil Indra Putra Mahayuddin disambar Luiz yang merembat deras melepasi benteng untuk merapatkan kedudukan 2-1 menuju waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Selangor bingkas menjarakkan semula kedudukan 3-1 selepas berjaya memperoleh gol ketiga pada minit ke-49 apabila S Veenod yang merampas bola dari tengah padang melorongkannya untuk disudahkan Ronaldinho bagi jaringan kedua peribadi penyerang import dari Liberia itu.

Selangor sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60 selepas Ronaldinho dijatuhkan Khairul Fahmi, namun pengadil Nazmi Nasaruddin menganggap Ronaldinho sengaja menjatuhkan diri lalu melayangkan kad kuning kepada penyerang Selangor itu.

Bagi memburu gol, jurulatih Kelantan, Velizar Popov membawa masuk Wan Zack Haikal pada minit ke-62 dan pemain sayap itu berjaya menjaringkan gol kedua pelawat menerusi sepakan lencong menarik selepas mengatasi bek kanan Selangor, Bunyamin Umar pada minit ke-72.

Zainal Abidin sebaliknya pula terpaksa mengeluarkan pertahanan import, Ugochukwu Ukah pada minit ke-77 akibat kecederaan dan digantikan oleh Rizal Fahmi Rosid untuk bergandingan dengan Razman Roslan mengetuai barisan pertahanan.

Pada minit ke-83, Adam Nor Azlin yang baru seminit dibawa masuk hampir berjaya menjaringkan gol keempat Selangor, namun bola percubaannya dapat ditepis keluar oleh Khairul Fahmi.

Ketika Selangor di ambang kemenangan, Kelantan akhirnya berjaya juga memperoleh gol ketiga menerusi sepakan Abdul Manaf ketika keadaan kelam kabut dalam kotak penalti ketika permainan memasuki minit kelapan masa kecederaan.

Dengan keputusan seri itu, Selangor dan Kelantan kini berkongsi empat mata di dua tangga teratas Kumpulan B diikuti Kuala Lumpur dengan tiga mata dan Pahang tanpa sebarang mata.

Perlawanan ketiga bagi saingan Piala Malaysia hanya akan berlangsung pada 30 Julai ini apabila Selangor dijadual bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Namun Selangor terlebih dahulu akan menghadapi dua perlawanan Liga Super bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini dan menentang Felda United di Stadium Shah Alam pada 26 Julai.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 18. Ugochukwu Ukah (17. Rizal Fahmi Rosid 77′), 13. Razman Roslan (C), 15. Raimi Md Nor, 25. R Gopinathan (9. Adam Nor Azlin 82′), 23. S Veenod, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (21. Hafiz Kamal 71′), 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 5. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 2. Norhafiz Zamani Misbah (33. Faris Shah Rosli 66′), 4. Jonathan McKain, 12. Qayyum Marjoni Sabil (14. Abdul Manaf Mamat 82′), 27. Wander Luiz, 11. Brendan Gan, 21. Morgaro Gomis, 8. Wan Zaharulnizam Zakaria (7. Wan Zack Haikal Wan Nor 62′), 23. Indra Putra Mahayuddin (C), 26. Blazhe Ilijoski.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin