Piala Malaysia: Selangor 3 JDT 2

Juara 33 kali, Selangor merampas tangga teratas Kumpulan D selepas berjaya menewaskan pendahulu sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-2 pada perlawanan ketiga Piala Malaysia 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kemenangan meletakkan Selangor kendalian P Maniam kini gah dengan tujuh mata di tangga teratas menerusi dua menang dan sekali seri untuk meninggalkan JDT di tangga kedua dengan empat mata, berbaki tiga lagi perlawanan untuk diharungi.

Sementara Terengganu di tangga ketiga dengan tiga mata selepas meraih seri ketiga berturut apabila diikat Sarawak 0-0 di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi. Sarawak di tangga keempat dengan satu mata.

Di Selayang malam tadi, Selangor selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama sebelum JDT bimbingan Ulisses Morais bangkit mengikat kedudukan 2-2 pada babak kedua. Namun gol sepakan penalti Amri Yahyah pada penghujung permainan memastikan tiga mata penuh milik Red Giants.

Turun tanpa Rufino Segovia yang mengalami kecederaan ketika seri 1-1 dengan Kedah pada aksi Liga Super 2017 di Alor Setar, Sabtu lalu, Selangor kembali mempertaruhkan penjaga gol Khairulazhan Khalid, kapten Razman Roslan, Andik Vermansah dan Amri dalam kesebelasan utama.

Tuan rumah berjaya memperoleh dua gol pantas dalam tempoh dua minit untuk mendahului 2-0 menerusi jaringan pemain pertahanan, Fairuz Abdul Aziz pada minit ke-33 dan Amri, minit ke-35.

Tersentak ketinggalan dua gol, JDT memulakan babak kedua dengan melakukan terus dua pertukaran serentak apabila membawa masuk dua pemain importnya, Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera bagi menggantikan S Chanthuru dan Safawi Rasid yang tampak kurang berkesan di barisan depan.

Hasilnya, JDT berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-56 sebelum menyamakan kedudukan 2-2 menerusi penyerang gantian, Darren Lok pada minit ke-69, hanya empat minit selepas dia masuk menggantikan Nazmi Faiz Mansor.

Bagi memberi tenaga baharu dalam pasukan, Maniam kemudian membawa masuk Rizal Fahmi Ab Rosid dan Saiful Ridzuwan Selamat bagi menggantikan Fairuz dan Abdul Halim Zainal, masing-masing pada minit ke-72 dan 82.

Selangor akhirnya berjaya memastikan tiga mata penuh selepas Amri tenang menyudahkan sepakan penalti untuk gol kedua peribadinya dan gol ketiga Selangor pada minit ke-90.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Kelantan di Selayang, Sabtu ini bagi perlawanan ke-17 Liga Super 2017.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 26. Fairuz Abdul Aziz (17. Rizal Fahmi Rosid 72′); 2. A Namathevan, 4. Abdul Halim Zainal (8. Saiful Ridzuwan Selamat 82′), 23. S Veenod, 29. Amri Yahyah, 15. Raimi Md Nor; 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan 90’+2), 10. Francis Forkey Doe.

JOHOR DARUL TA’ZIM: 30. Haziq Nadzli; 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Aidil Zafuan Abdul Radzak, 6. Marcos Antonio (C), 15. Fazly Mazlan; 4. Afiq Fazail, 21. Nazmi Faiz Mansor (28. Darren Lok 65′), 5. Amirulhadi Zainal; 23. S Chanthuru (10. Gabriel Guerra 46′), 9. Ahmad Hazwan Bakri, 29. Safawi Rasid (11. Gonzalo Cabrera 46′).

Pengadil: Mohd Zohri Tajudin