Piala Malaysia: Selangor 2 T-Team 1

Juara bertahan, Selangor berjaya menewaskan T-Team 2-1 pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk dijadikan bekalan menjelang aksi kedua di Kuala Terengganu, 15 Oktober ini dalam misi meneruskan langkah ke final bagi memburu kejuaraan kali ke-34.

Pada aksi malam tadi yang disaksikan kira-kira 15,000 penonton, skuad Red Giants bagaimanapun terlebih dahulu ketinggalan 1-0 kepada T-Team kendalian Rachmat Darmawan pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti Patrick Cruz selepas pemain pertahanan, Bunyamin Umar menjatuhkan Safawi Rasid.

Namun menuju ke bilik persalinan, Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan lencong menarik Ahmad Hazwan Bakri dari luar kotak penalti yang masuk ke penjuru kanan gawang T-Team pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Selangor kendalian jurulatih sementara, K Gunalan tampak lebih garang dengan memperoleh beberapa lagi peluang terbaik menerusi Ahmad Hazwan, Patrick Ronaldinho Wleh, R Gopinathan, Andik serta Adam Nor Azlin yang masuk pada pertengahan babak pertama menggantikan Nazmi Faiz Mansor yang cedera.

Akhirnya pada minit ke-80, pemain pertahanan import, Ugochukwu Ukah berjaya meledak gol kedua Selangor berpunca daripada keadaan kelam kabut depan pintu gol T-Team selepas sepakan percuma Andik dari sebelah kanan.

Selangor sepatutnya mampu menambah jaringan untuk menjadikan kedudukan lebih selesa tetapi Ronaldinho sedikit lewat untuk menanduk masuk bola hantaran lintang cantik di depan pintu gol T-Team pada penghujung permainan.

Perlawanan separuh akhir kedua bakal berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 15 Oktober ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar (13. Razman Roslan 86′), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C), 10. Nazmi Faiz Mansor (9. Adam Nor Azlin 25′), 23. S Veenod, 25. R Gopinathan, 11. Ahmad Hazwan Bakri (14. Abdul Hadi Yahaya 90+3′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

T-TEAM: 23. Ilham Amirullah Razali, 7. Hassan Basri Ridzuan, 3. Abdoulaye Maïga, 5. Hasbullah Awang (C), 34. Arif Fadzilah Abu Bakar, 18. Nor Hakim Hassan (22. Ramzul Zahini Adenan 83′), 10. Makan Konate, 13. Asrol Ibrahim (8. Badrul Hisyam Morris 90+4′), 26. Zulhanizam Shafine (17. Mazuki Yusof 72′), 37. Safawi Rasid, 11. Patrick Cruz.

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar