Piala Malaysia: Selangor 2 T-Team 1

Selangor berjaya melangkah ke suku akhir TM Piala Malaysia 2015 biarpun masih berbaki satu perlawanan selepas menewaskan T-Team 2-1 pada perlawanan kelima Kumpulan C di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Malah Selangor sudah pun sah bergelar juara Kumpulan A selepas mengumpul 10 mata, meninggalkan Felda United dan T-Team di tangga kedua dan ketiga dengan berkongsi enam mata manakala Kelantan di tangga keempat dengan lima mata.

Pada perlawanan malam tadi, gol pertama Selangor hadir pada minit ke-18 menerusi tandukan Andik Vermansah di depan gawang terbuka selepas penjaga gol T-Team, Wan Azraie Wan Teh gagal menghalang tandukan awal oleh Guilherme De Paula.

Namun ia hanya bertahan 10 minit apabila Zarulizwan Mazlan menyamakan kedudukan buat T-Team pada minit ke-28 menerusi penyudah kemas di tengah kotak penalti Selangor menewaskan Norazlan Razali.

Zarulizwan berjaya menambah ‘gol kedua’ T-Team pada minit ke-35 tetapi jaringannya itu dibatalkan pengadil kerana ofsaid untuk kedudukan kekal 1-1 sehingga rehat separuh masa pertama.

Pada minit ke-69, giliran Selangor pula kecewa apabila jaringan menerusi tandukan Guilherme De Paula selepas sepakan sudut dibatalkan pengadil.

Ia bagaimanapun ditebus pada minit ke-72 apabila Ahmad Hazwan Bakri menjaringkan gol kemenangan Selangor selepas sepakan kaki kirinya terbias kaki pertahanan T-Team dan menggegar jaring menewaskan Wan Azraie.

T-Team terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Kamal Azizi Zabri dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah pada masa kecederaan.

Selangor akan melengkapkan perlawanan keenam Kumpulan C bertemu Felda United di Stadium Selayang pada 8 November ini.

Terdahulu, Selangor akan menghadapi Singapura untuk perlawanan tahunan Piala Sultan Selangor 2015 di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini (24 Oktober).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Kalam (c), 2. Robert Cornthwaite, 3. Azmi Muslim (14. Abdul Hadi Yahaya 66′), 15. Raimi Md Nor, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah (4. Shazlan Alias 90+2′), 11. Ahmad Hazwan Bakri (25. K Gurusamy 85′), 13. Guilherme De Paula.

T-TEAM: 1. Wan Azraie Wan Teh, 16. Kamal Azizi Zabri, 17. Marzuki Yusof (c), 5. Hasbullah Awang, 24. Syuhiran Zainal, 18. Nor Hakim Hassan (46. Shamsul Kamal Mohamad 80′), 8. Badrul Hisyam Morris (13. Asrol Ibrahim 73′), 44. Josip Milardovic, 31. Zarulizwan Mazlan (15. Ahmad Takhiyuddin Roslan 57′), 7. Sadriddin Abdullaev, 49. Tomislav Busic.

Pengadil: Ahmad Zuhaidi Dzulkifli