Piala Malaysia: Selangor 2 Pahang 0

Selangor kendalian Mehmet Durakovic melangkah ke final TM Piala Malaysia 2015 untuk bertemu Kedah pada 12 Disember ini selepas berjaya menewaskan juara bertahan, Pahang 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas seri 0-0 pada separuh akhir pertama di Kuantan, Rabu lalu, dua jaringan menerusi penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula pada minit ke-11 dan pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor, minit ke-54 sudah cukup untuk memastikan kemaraan Selangor menerusi agregat 2-0.

Selepas menjulang trofi Piala Malaysia buat kali ke-32 dengan menewaskan Perlis 3-0 pada final 2005, Selangor tewas 3-2 kepada Kedah pada final 2008 dan final 2015 bertemu Kedah di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini pasti peluang terbaik buat skuad Red Giants untuk akhirnya merealisasikan Misi 33.

Pada aksi malam tadi, Selangor berjaya memperoleh gol pertama seawal minit ke-11 apabila rembatan kencang De Paula dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Pahang, Khairulazhan Khalid.

Tersentak dengan jaringan itu, Pahang kendalian Zainal Abidin Hassan mula mengasak bertubi-tubi ke arah kubu Selangor bermula dengan tandukan penyerang importnya, Matias Conti yang tepat ke dakapan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-14.

Selepas itu, bermula dari minit ke-16 hingga minit ke-20, gawang Selangor terus diasak dan mujur Norazlan terus mempamerkan kecemerlangan seperti pada aksi separuh akhir pertama di Kuantan apabila berjaya menafikan empat percubaan tersebut.

Bermula sepakan percuma terus Hafiz Kamal, disusuli percubaan Zesh Rehman selepas sepakan sudut, rembatan Dickson Nwakaeme dalam kotak penalti dan sekali lagi percubaan depan gol oleh Hafiz, kesemuanya berjaya ditepis cemerlang Norazlan untuk memastikan kedudukan kekal Selangor mendahului 1-0 sehingga waktu rehat.

Separuh masa kedua bersambung, Selangor terus selesa di hadapan apabila sepakan lencong kaki kanan Nazmi Faiz pada minit ke-54 terus menerjah gawang Pahang untuk gol kedua Selangor.

Pada minit ke-57, Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang apabila kali ini menyelamatkan bola situasi satu lawan satu berdepan Azamuddin Akil.

Pahang selepas itu dilihat seolah sudah buntu untuk mendapatkan gol semangat termasuk sepakan kaki kiri Hafiz dari luar kotak penalti pada minit ke-80 yang sekadar melewati palang gol Selangor.

Sebaliknya pada minit ke-83, Selangor hampir berjaya menambah gol ketiga tetapi bola muntah tampanan Khairulazhan selepas percubaan awal Andik Vermansah gagal disambar cepat oleh De Paula dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Abd Kalam (c), 15. Raimi Md Nor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (23. S Veenod 74′), 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah (25. K Gurusamy 90+1′), 14. Abdul Hadi Yahaya (24. Fittri Shazwan Raduwan 70′), 13. Guilherme De Paula.

PAHANG: 1. Khairulazhan Khalid, 41. Matthew Davies, 3. Saiful Nizam Miswan, 4. Damion Stewart (c), 5. Aziz Ismail, 12. Azammuddin Akil (15. D Saarvindran 68′), 6. Zesh Rehman, 21. Hafiz Kamal, 7. R Surendran (24. R Gopinathan 55′), 9. Matias Conti, 10. Dickson Nwakaeme.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob