Piala Malaysia: Selangor 2 Kedah 3

Juara 33 kali, Selangor bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk akhirnya tewas tipis 3-2 kepada juara bertahan, Kedah pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian P Maniam masih berpeluang menjelang perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Ahad, 24 September ini.

Pada aksi malam tadi, Selangor bermula baik dengan memberikan amaran awal pada minit kedua, namun tandukan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin selepas sepakan percuma Amri Yahyah dari sebelah kanan sedikit tinggi melewati palang.

Namun sebaliknya Kedah kendalian Nidzam Adzha Yusoff beroleh dua jaringan pantas menerusi penyerang importnya, Ken Ilso Larsen.

Gol pertama Kedah hadir pada minit ketujuh selepas lorongan Rizal Ghazali dari tengah padang tepat buat Ilso melakukan larian mengatasi barisan pertahanan Selangor serta penyudah yang memperdayakan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Gawang Selangor bolos lagi pada minit ke-15, kali ini berpunca hantaran lintang Baddrol Bakhtiar dari sebelah kanan yang gagal dikeluarkan dengan baik pertahanan import, Ugochukwu Ukah untuk Syazwan Zainon melakukan percubaan yang kemudian tepat ke kaki Ilso untuk disudahkan penyerang import dari Denmark itu.

Ilso kemudian hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-27, namun percubaan bahayanya kali ini sempat ditepis keluar oleh Khairulazhan untuk menyelamatkan Selangor daripada terus ketinggalan dengan jaringan besar.

Menuju babak akhir separuh masa pertama, Selangor mula menemui rentak dengan Amri melakukan percubaan dalam kotak penalti yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-35.

Tiga minit berselang, Ifwat Akmal sekali lagi menjadi penghalang apabila cemerlang menepis keluar sepakan jarak jauh menarik daripada Amri.

Selangor kemudian mendapat satu lagi peluang terbaik pada minit ke-42 tetapi percubaan Rufino Segovia dari dalam kotak penalti diselamatkan juga oleh penjaga gol Kedah itu untuk menamatkan separuh masa pertama dengan tuan rumah ketinggalan 2-0.

Baru beberapa saat aksi separuh masa kedua bersambung, menerusi serangan awal hasil lambungan baik Amri, percubaan Rufino di depan pintu gol Kedah bagaimanapun berjaya dihadang kemas oleh Ifwat Akmal.

Kekebalan Ifwat Akmal akhirnya berjaya diatasi pada minit ke-53 apabila Selangor beroleh gol pertama selepas Rufino lebih pantas daripada penjaga gol Kedah itu dan pemain pertahanan, Rizal Ghazali untuk menanduk masuk bola hantaran lintang Syahmi Safari dari sebelah kanan.

Selangor kemudian hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64, namun menerusi situasi hampir serupa, tandukan Rufino selepas menerima hantaran lintang pemain gantian, Andik Vermansah sempat dihadang pertahanan Kedah daripada bola menuju ke gawang.

Rufino sekali lagi dinafikan jaringan selepas percubaannya dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Andik berjaya ditepis keluar oleh Ifwat Akmal pada minit ke-66.

Dalam keghairahan Selangor memburu gol penyamaan itu, gawang tuan rumah sebaliknya bocor apabila hantaran Liridon Krasniqi dari sebelah kanan tepat ke arah Syazwan Zainon untuk pemain sayap kebangsaan itu mudah melepaskan rembatan tepat menewaskan Khairulazhan menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-68.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor tidak berputus asa dan berjaya juga memperoleh gol kedua pada minit ke-71 selepas hantaran Andik dari sebelah kiri berjaya disudahkan dengan baik oleh Rufino untuk gol kedua peribadi penyerang import dari Sepanyol itu dan menjadikan kedudukan berubah kepada 3-2.

Menuju penghujung permainan, pintu gol Selangor cemas seketika apabila Kedah beroleh sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti, namun rembatan Sandro pada minit ke-85 itu sedikit sipi.

Selangor kemudian terus berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi percubaan luar kotak penalti Syahmi pada minit ke-89 berjaya diselamatkan Ifwat Akmal manakala beberapa peluang hasil keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Kedah sepanjang masa kecederaan tetap gagal menemui sasaran.

Sebelum berkunjung ke Alor Setar pada Ahad depan, Selangor terlebih dahulu akan beraksi untuk perlawanan ke-20 Liga Super 2017 bertemu PKNS FC di Selayang pada Rabu ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin (2. A Namathevan 78′); 20. Syahmi Safari, 23. S Veenod, 29. Amri Yahyah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (7. Andik Vermansah 56′), 3. K Kannan (15. Raimi Md Nor 69′); 10. Francis Forkey Doe, 30. Rufino Segovia.

KEDAH: 25. Ifwat Akmal Chek Kassim; 15. Rizal Ghazali, 13. Khairul Helmi Johari (C), 4. Zachary Anderson, 3. Fitri Omar (27. Ariff Farhan Md Isa 70′); 16. Amirul Hisyam Awang Kechik, 8. Liridon Krasniqi; 7. Baddrol Bakhtiar (12. Akram Mahinan 79′), 10. Sandro Da Silva, 22. Syazwan Zainon (2. Syawal Nordin 79′); 9. Ken Ilso Larsen.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin