Piala Malaysia: Selangor 1 Terengganu 1

Juara 33 kali yang juga naib juara musim lalu, Selangor memulakan kempen Piala Malaysia 2017 dengan diikat seri 1-1 oleh pasukan Liga Premier, Terengganu pada perlawanan sulung Kumpulan D di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Selepas Francis Forkey Doe gagal menyempurnakan sepakan penalti, Selangor berjaya juga mendahului menerusi Rufino Segovia pada minit ke-43 sebelum Terengganu beroleh gol penyamaan hasil sepakan penalti Issey Nakajima-Farran pada minit ke-64.

Terdahulu jurulatih Selangor, P Maniam bertindak untuk mengekalkan kesebelasan sama ketika mereka berjaya menewaskan T-Team 4-2 pada perlawanan ke-14 Liga Super 2017 di gelanggang sama, Sabtu lalu.

Tanpa sebarang percubaan berbahaya pada awal permainan, Selangor berpeluang pada minit ke-16, namun Amri Yahyah yang mendapat ruang terbuka di hadapan kotak penalti sekadar menyaksikan sepakannya berjaya dihadang keluar pertahanan Terengganu, Firdaus Faudzi.

Terengganu kendalian Irfan Bakti Abu Salim kemudian cuba menguji benteng Selangor menerusi sepakan leret dari luar kotak penalti pemain pertahanan, Hafizal Mohamad pada minit ke-19, namun ia tepat ke dakapan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Selangor sekali lagi berpeluang pada minit ke-24 tetapi kali ini rembatan deras kaki kiri Rufino dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Terengganu, Suffian Ab Rahman.

Akhirnya Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas Raimi Md Nor dijatuhkan Firdaus di hujung kanan kotak penalti, namun sepakan tersebut yang diambil oleh Forkey Doe pada minit ke-31 sekadar menggegar tiang gol dan tindakan susulan Amri gagal menemui sasaran.

Bagaimanapun, ia tidak memutuskan semangat juang para pemain Selangor yang akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-43 menerusi sepakan kemas Rufino menewaskan Suffian untuk gol pertama Selangor.

Selangor kemudian berpeluang menambah jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama, namun sepakan percuma jarak jauh Amri berjaya ditepis keluar oleh Suffian untuk menamatkan separuh masa dengan tuan rumah mendahului 1-0.

Awal babak kedua berlangsung rancak dengan Rufino mempersiakan peluang depan gol apabila menyepak tinggi pada minit ke-48 disusuli percubaan luar kotak penalti pemain import Terengganu, Gabriel Davis yang ditepis keluar Khairulazhan, seminit kemudian.

Pada minit ke-51, tandukan kapten Terengganu, Lazaro Vinicius pula berjaya ditangkap kemas oleh Khairulazhan disusuli percubaan Kipre Tchetche pada minit ke-58 yang dikeluarkan kapten Selangor, Razman Roslan di depan pintu gol selepas penyerang import Terengganu itu berjaya memperdaya Khairulazhan.

Terengganu akhirnya berjaya juga memperoleh gol penyamaan yang dicari pada minit ke-64 menerusi sepakan penalti disempurnakan Nakajima-Farran selepas dia sendiri dijatuhkan pertahanan import Selangor, Ugo Ukah.

Menuju 10 minit terakhir perlawanan, Selangor beroleh beberapa peluang terbaik untuk menamatkan permainan dengan kemenangan tetapi sepakan lambung jarak jauh Amri pada minit ke-80 sekadar menggegar tiang manakala percubaan terbuka Forkey Doe pada minit ke-89 gagal menemui sasaran.

Selangor selepas ini akan bertandang ke Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu ini untuk aksi kedua Kumpulan D bertemu Sarawak yang tewas 4-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi sulung di Larkin, malam tadi.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin (24. Fittri Shazwan Raduwan 90’+4); 20. Syahmi Safari (2. A Namathevan 43′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 29. Amri Yahyah, 15. Raimi Md Nor (23. S Veenod 83′); 7. Andik Vermansah, 10. Francis Forkey Doe, 30. Rufino Segovia.

TERENGGANU: 29. Suffian Ab Rahman; 19. Firdaus Faudzi, 5. Lazaro Vinicius (C), 17. Nasrullah Haniff Johan, 16. Hafizal Mohamad; 7. J Partiban (20. Ridzuan Abdunloh Pula 75′), 28. Azi Shahril Azmi, 11. Issey Nakajima-Farran (10-Ferris Danial Mat Nasir 87′); 8. Gabriel Davis, 15. Faiz Nasir, 23. Kipre Tchetche.

Pengadil: Khairul Azuan Kidam