Juara 33 kali, Selangor mengalami kekalahan pertama dalam saingan Piala Malaysia 2017 selepas tewas 2-1 kepada Sarawak pada perlawanan kelima Kumpulan D di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor kini berkedudukan tangga kedua Kumpulan D berdasarkan perbezaan gol meskipun mengumpul 10 mata sama dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang membelasah Terengganu 5-0 di Larkin, malam kelmarin.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, P Maniam merehatkan penjaga gol Norazlan Razali, Adam Nor Azlin, Raimi Md Nor, Francis Forkey Doe dan Rufino Segovia daripada senarai 18 pemain memandangkan skuad Red Giants telah pun mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan Terengganu 3-2, Sabtu lalu.

Pemain muda, Syahmi Safari yang diletakkan di posisi penyerang bersama Nurshamil Abd Ghani dan Fittri Shazwan Raduwan memberi amaran awal dengan percubaan kaki kirinya pada minit ke-10 sedikit tersasar manakala sepakan percumanya empat minit kemudian ditepis penjaga gol Sarawak, Shahril Sa’ari.

Kemudian giliran penjaga gol ketiga Selangor, Zarif Irfan Hashimuddin pula diuji Sarawak, namun mudah buatnya untuk menyelamatkan sepakan lambung Milos Raickovic pada minit ke-18 dan sepakan percuma Tommy Mawat Bada pada minit ke-23.

Selangor akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-37 selepas pemain pertahanan import, Ugochukwu Ukah menanduk deras bola sepakan percuma Syahmi untuk gol pertama tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Sarawak kendalian Pengiran Bala berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52 selepas Mateo Roskam bijak memperdaya dua pemain pertahanan Selangor sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Zarif Irfan.

Tersentak dengan jaringan itu, Maniam melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-62 dengan membawa masuk Andik Vermansah dan Amri Yahyah untuk menggantikan K Kannan dan Fittri Shazwan bagi menajamkan jentera depan.

Namun sebaliknya Sarawak yang berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-65 menerusi penyudah kemas Raickovic dalam kotak penalti berpunca kesilapan Amri yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya selepas sepakan percuma yang melantun terkena tiang gol.

Selangor yang memburu gol penyamaan hampa selepas percubaan Andik dari sudut kiri pada minit ke-71 berjaya diselamatkan Shahril disusuli tandukan Ukah selepas sepakan penjuru pada minit ke-82 yang turut berjaya ditepis keluar penjaga gol Sarawak itu.

Pada minit ke-87, hantaran Andik dari sebelah kiri berjaya ditanduk keluar pertahanan Sarawak untuk menutup terus peluang Selangor menafikan pasukan pelawat daripada memperoleh kemenangan pertama selepas lima perlawanan.

Selangor kini perlu menewaskan JDT pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Larkin pada 9 September jika mahu bergelar juara kumpulan sambil Sarawak dengan empat mata dan Terengganu dengan tiga mata sudah pun tersingkir daripada perebutan tempat ke suku akhir.

Namun terdahulu Selangor akan melayan kunjungan JDT untuk perlawanan ke-19 Liga Super 2017 di Selayang, Sabtu ini sebelum saingan Liga Malaysia berehat lima minggu untuk Sukan SEA 2017 dan perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan.

SELANGOR: 22. Zarif Irfan Hashimuddin; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 26. Mohd Fairuz Abdul Aziz; 2. A Namathevan, 4. Abdul Halim Zainal (5. K Satish 83′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 3. K Kannan (7. Andik Vermansah 62′); 20. Syahmi Safari, 27. Nurshamil Abd Ghani, 24. Fittri Shazwan Raduwan (29. Amri Yahyah 62′).

SARAWAK: 25. Shahril Sa’ari; 32. Jimmy Raymond, 35. Rodney Celvin, 17. Hairol Mokhtar (C), 22. Mazwandi Zekeria; 7. Nur Shamie Iszuan Amin, 52. Milos Raickovic (16. Shahrol Saperi 74′), 26. Alif Hassan, 8. Tommy Mawat Bada; 27. Hafis Saperi (30. Abdul Rahim Abdul Razak 90’+2), 9. Mateo Roskam (34. Nor Azizi Ramlee 67′).

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob