Piala Malaysia: Selangor 1 Sarawak 1

Selangor berjaya mengikat Sarawak 1-1 pada perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk layak menerusi agregat 3-2 ke separuh akhir berdepan juara bertahan, Pahang.

Ia sekali gus mengatasi pencapaian musim lalu apabila skuad kendalian Mehmet Durakovic itu disingkirkan Felda United di peringkat suku akhir.

Kali terakhir Selangor, juara 32 kali Piala Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir ialah pada 2012 sebelum disingkirkan Kelantan yang menjuarai edisi tahun tersebut.

Malam tadi, Selangor turun tanpa Ahmad Hazwan Bakri, penjaring gol pertama ketika menewaskan Sarawak 2-1 pada suku akhir pertama di Kuching, Selasa lalu manakala pelawat tanpa penyerang importnya, Billy Mehmet dan penjaga gol, Iqbal Suhaimi.

Selepas gawang Selangor terselamat seketika apabila pemain pertahanan kiri, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham berjaya menanduk keluar bola hantaran Ashri Chuchu sebelum disambar J Partiban pada minit ke-20, Sarawak berjaya juga memperoleh gol pertama, dua minit kemudian.

Bola lorongan Partiban dari sebelah kanan berjaya disudahkan dengan baik oleh Ashri untuk gol pertama Sarawak menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-22, sekali gus mengikat agregat 2-2.

Sarawak kemudian hampir menambah gol kedua pada minit ke-26, mujur sepakan percuma deras penyerang importnya, Patrick Gerhardt berjaya ditepis keluar oleh Norazlan.

Dua minit berselang, Afiq Azmi, penjaring gol kemenangan di Kuching sekali lagi berjaya mencatat namanya selaku penjaring apabila mengatasi pertahanan Sarawak sebelum melepaskan sepakan menewaskan penjaga gol, Fadzley Rahim untuk gol penyamaan Selangor pada minit ke-28.

Kedudukan separuh masa pertama terikat 1-1 dengan agregat 3-2 memihak kepada Selangor.

Sarawak kendalian jurulatih sementara, David Usop tidak berputus asa apabila terus mengasak pada awal separuh masa kedua bagi memburu gol pendahuluan dan menyamakan semula agregat.

Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang apabila melayangkan badannya untuk menepis percubaan berbahaya Gerhardt pada minit ke-56.

Selepas Sarawak dilihat sukar dan buntu untuk menembusi gawang Selangor, tuan rumah sebaliknya beroleh beberapa peluang terbaik termasuk sepakan percuma Azrif Nasrulhaq yang sedikit sipi ke gawang Sarawak pada minit ke-74.

Sarawak terpaksa pula beraksi 10 pemain selepas pemain tengahnya, Shreen Tambi dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah pada minit ke-86 dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Perlawanan separuh akhir pertama bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Rabu ini (2 Disember 2015) manakala separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam pada Ahad ini (6 Disember 2015).

Satu lagi separuh akhir menyaksikan juara Liga Premier 2015, Kedah yang mengatasi PKNS FC akan bertemu Felda United yang berjaya menyingkirkan juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Final TM Piala Malaysia 2015 dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam pada 12 Disember ini.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Abd Kalam (c) (17. Rizal Fahmi Rosid 90+2′), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 14. Abdul Hadi Yahaya (15. Raimi Md Nor 90′), 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah, 19. Afiq Azmi (23. S Veenod 72′), 13. Guilherme De Paula.

SARAWAK: 1. Fadzley Rahim, 13. Dzulazlan Ibrahim (34. Tommy Mawat 59′), 2. Ronny Harun (c), 17. Hairol Mokhtar, 12. Ramesh Lai, 7. J Partiban, 20. Shreen Tambi, 16. Shahrol Saperi, 11. Ashri Chuchu, 23. Ryan Griffiths (33. Nur Sharmie Iszuan 67′), 47. Patrick Nyema Gerhardt.

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar