ABK17

Piala Malaysia: Selangor 1 Sabah 2

Juara 33 kali, Selangor gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir pada kempen Piala Malaysia 2018 selepas tewas 2-1 kepada Sabah pada perlawanan keempat Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia kekalahan keempat berturut skuad kendalian Nazliazmi Nasir, sekali gus kekal di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata, di belakang Sabah dengan 10 mata, Pahang (8) dan PKNP FC (4), berbaki dua lagi perlawanan.

Selepas tewas 2-1 kepada Sabah di Likas minggu lalu, Nazliazmi kembali dapat mempertaruhkan kesebelasan terbaiknya malam tadi selepas tiga pemain – Syahmi Safari, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn selesai tugasan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Peluang terbaik Selangor pada separuh masa pertama hadir pada minit ke-29, namun percubaan dalam kotak penalti oleh Sean Eugene Selvaraj selepas sepakan percuma Amri Yahyah berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor terus berusaha pada awal babak kedua tetapi sepakan kaki kiri Rufino Segovia dari luar kotak penalti pada minit ke-50 berjaya ditepis keluar oleh Rozaimie.

Sebaliknya Sabah berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-52 menerusi rembatan deras luar kotak penalti Hector Pito Ramos selepas menerima bola tandukan Rodoljub Paunovic yang terdahulu menyambut hantaran jauh pemain pertahanan, Randy Baruh.

Peluang terbaik Selangor untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-77, namun tandukan tepat Syahmi Safari selepas sepakan sudut Amri berjaya ditepis baik di atas garisan gol oleh Rozaimie yang melayangkan badannya.

Selangor terus tertekan apabila Sabah berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-86 menerusi rembatan deras depan pintu gol Paunovic selepas menerima hantaran jauh daripada pemain gantian, Ricco Nigel Milus.

Pada masa kecederaan, Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas hantaran Ilham Udin dari sebelah kiri terkena tangan Azzizan Nordin dan Rufino berjaya merapatkan kedudukan 2-1 apabila berjaya menyudahkan sepakan penalti tersebut.

Selangor bakal melengkapkan jadual perlawanan Kumpulan D bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu ini, 1 September diikuti aksi berdepan PKNP FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 16 September.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco, 13. Razman Roslan, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C) (28. Shahrul Igwan Samsudin 88′), 20. Syahmi Safari, 6. Evan Dimas, 7. Sean Eugene Selvaraj (8. Saiful Ridzuwan Selamat 75′); 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

SABAH: 30. Rozaimie Rohim; 15. Randy Baruh, 3. Rawilson Batuil (C), 5. Francis Kasonde, 11. Alto Linus; 10. Maxsius Musa, 8. Azzizan Nordin, 23. Sabri Sahar (19. Ummareng Bacok 82′), 24. Hamran Peter (20. Ricco Nigel Milus 68′); 7. Rodoljub Paunovic, 9. Hector Pito Ramos.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed