Piala Malaysia: Selangor 1 PKNS FC 0

Juara bertahan, Selangor berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2016 menerusi agregat 5-3 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PKNS FC pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Gol tunggal pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-55 sudah cukup untuk memastikan Selangor menempah pertembungan separuh akhir dengan T-Team selepas juara 33 kali itu menewaskan PKNS FC 4-3 pada suku akhir pertama di tempat lawan, juga di Stadium Shah Alam pada 28 Ogos lalu.

Pada aksi malam tadi, Selangor kendalian jurulatih sementara, K Gunalan hanya membenarkan PKNS FC mencuba menerusi rembatan jauh Gabriel Guerra yang berjaya ditepis penjaga gol, Khairulazhan Khalid pada minit kelapan.

Selebihnya Selangor jelas menguasai permainan selepas itu dan beroleh deretan peluang untuk menjaringkan gol antaranya percubaan S Veenod pada minit ke-24 yang dihadang Nor Haziq Aris dan percubaan R Gopinathan depan gol selepas sepakan sudut pada minit ke-28 yang turut berjaya diselamatkan penjaga gol PKNS FC itu.

Pada minit ke-31, sepakan jauh Gopinathan sekadar menggegar tiang gol PKNS FC disusuli percubaan sambil berlari oleh kapten Selangor, Andik Vermansah seminit kemudian yang berjaya diselamatkan Nor Haziq.

Bersambung babak kedua, Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas hantaran Andik dari sebelah kanan berjaya disudahkan oleh Nazmi Faiz di depan pintu gol PKNS FC untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-55.

Jaringan itu jelas mematahkan semangat pasukan PKNS FC kendalian E Elavarasan kerana mereka perlu mencari tiga gol untuk menafikan kemaraan Selangor ke separuh akhir tatkala benteng pertahanan pasukan tuan rumah itu yang diketuai Ugochukwu Ukah dan Rizal Fahmi Rosid ternyata sukar untuk ditembusi barisan depan mereka.

Nazmi Faiz hampir menambah jaringan buat Selangor pada minit ke-86 tetapi sepakan kemasnya berjaya diselamatkan penjaga gol PKNS FC.

Selangor selepas ini akan menghadapi Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini untuk perlawanan kedua terakhir Liga Super 2016 sebelum berdepan T-Team bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia di gelanggang sendiri pada 30 September atau 1 Oktober ini dan di tempat lawan pada 14 atau 15 Oktober ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar (13. Razman Roslan 54′), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C), 23. S Veenod, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (9. Adam Nor Azlin 81′), 25. R Gopinathan (24. Fittri Shazwan Raduwan 88′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

PKNS FC: 25. Nor Haziq Aris, 24. Nizam Abu Bakar, 21. Ahmad Shakir Md Ali (7. Shahurain Abu Samah 83′), 12. Gonzalo Soto (C), 5. Shahrul Azhar Ture, 30. Matias Jadue, 11. Nazrin Syamsul Bahri, 8. Khairu Azrin Khazali (9. Farderin Kadir 83′), 6. Munir Amran (31. Alif Haikal Sabri 60′), 20. Gabriel Miguel Guerra, 14. Juan Manuel Cobelli.

Pengadil: Mohd Fairuzi Mat Desa