Piala Malaysia: Selangor 1 Kuala Lumpur 0

Juara bertahan, Selangor memulakan kempen Piala Malaysia 2016 dengan langkah kanan selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, penyerang muda, Adam Nor Azlin, 20, muncul wira apabila meledak gol kemenangan Selangor pada minit ke-88, hanya dua minit selepas masuk menggantikan Ahmad Hazwan Bakri.

Terdahulu, perlawanan berlangsung seimbang tetapi Selangor kendalian Zainal Abidin Hassan lebih banyak mencipta peluang di depan pintu gol berbanding pasukan pelawat yang dibimbing Ismail Zakaria.

Pada minit ke-20, percubaan depan gol Ahmad Hazwan selepas menerima hantaran Andik Vermansah dari sebelah kiri sedikit sipi daripada gawang Kuala Lumpur disusuli sepakan lambung pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu dari sebelah kiri pada minit ke-34 yang menggegar palang gol pelawat.

Seminit kemudian, giliran penyerang import Selangor, Mauro Olivi mencuba tetapi sepakannya di depan kotak penalti berjaya dihadang keluar pemain pertahanan Kuala Lumpur untuk kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga waktu rehat.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat gagal beroleh peluang terbaik di depan gol sehinggalah pasukan tuan rumah tampak lebih mengasak pada baki 15 minit terakhir permainan.

Pada minit ke-79, Selangor hampir berjaya memecah kebuntuan tetapi sepakan cantik Andik dalam kotak penalti berjaya ditepis baik penjaga gol Kuala Lumpur, Badrul Zaman Abd Halim.

Namun Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-88 selepas sepakan sudut Hafiz Kamal ditanduk Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ke arah Adam Nor yang kemudian berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan Kuala Lumpur sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru kanan gawang gol pelawat itu.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan B malam tadi menyaksikan Kelantan berjaya menewaskan Pahang 1-0 di Kota Bharu.

Selangor selepas ini akan bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam pada Rabu, 20 Julai untuk aksi kedua Kumpulan B.

Namun terdahulu Selangor akan turun menghadapi PDRM di Stadium Shah Alam, Sabtu ini untuk perlawanan ke-14 bagi saingan Liga Super 2016.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan (C), 15. Raimi Md Nor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (9. Adam Nor Azlin 86′), 23. S Veenod (21. Hafiz Kamal 78′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah, 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (25. R Gopinathan 66′).

KUALA LUMPUR: 22. Badrul Zaman Abd Halim, 51. Nazri Ahmad (8. Abdul Halim Zainal 89′), 21. Helmi Remeli (C), 4. Leo Carioca, 28. Irfan Zakaria, 18. Rashid Aya, 7. Fahrul Razi Kamaruddin (10. Hardee Shamsuri 84′), 15. Modibo Konte, 27. Hafiz Johar, 53. Jonathan Cantillana, 54. Diego Inostroza (9. A Thamil Arasu 54′).

Pengadil: Fitri Maskan