Piala Malaysia: Selangor 0 PKNP FC 3

Juara 33 kali, Selangor memulakan kempen Piala Malaysia 2018 dengan langkah kiri selepas tewas 3-0 kepada PKNP FC pada perlawanan sulung Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor turun buat pertama kali di stadium keramat itu selepas menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai gelanggang sendiri sepanjang kempen Liga Super dan Piala FA musim ini.

Namun jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir terpaksa melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya berikutan ketiadaan Syahmi Safari serta dua import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang bersama skuad B-23 Malaysia dan Indonesia bagi persiapan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

PKNP FC kendalian Abu Bakar Fadzim berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-23 menerusi gerakan ketua pasukan, Hafiz Ramdan yang berjaya memperdaya empat pemain Selangor sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Haziq Ridwan.

Selangor kemudian berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-31, namun tandukan Shahrul Igwan Samsudin hasil hantaran lintang Amirul Ashraf Ariffin dari sebelah kanan sekadar menggegar tiang kanan gawang PKNP FC.

Sebaliknya PKNP FC terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-32 menerusi satu serangan balas yang disudahkan Fandi Ahmad selepas dia berjaya melepasi pertahanan import Selangor, Alfonso De La Cruz Calero.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor yang ketinggalan 2-0 cuba mendapatkan jaringan bagi merapatkan jurang gol.

Namun PKNP FC berjaya memperoleh gol ketiga pada minit ke-62 menerusi penyudah Ritus Krjauklis selepas hantaran awalnya ke depan pintu gol selepas sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee gagal ditangkap kemas oleh Haziq.

Kekalahan 3-0 itu menyaksikan Selangor kini di tangga keempat Kumpulan B sementara PKNP FC di tangga teratas dengan tiga mata selepas aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan tuan rumah, Pahang sekadar seri 1-1 dengan pasukan Liga Premier, Sabah.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Pahang di Stadium Shah Alam bagi perlawanan kedua, Sabtu ini.

SELANGOR: 22. Haziq Ridwan; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 15. Ashmawi Yakin, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 24. Syukri Azman; 7. Sean Eugene Selvaraj, 32. Badrul Amin Rusalan, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 28. Shahrul Igwan Samsudin; 10. Rufino Segovia, 17. Amri Yahyah (C).

PKNP FC: 23. Syazani Mat Puad; 26. Ahmad Azraei Omar, 27. Ahmad Khuzaimi Piee, 4. Ritus Krjauklis, 5. Muhammad Mohd Safar; 36. Kim Sangwoo; 28. Ibni Khozaimi, 2. Ahmad Sukri Hamid, 21. Norhakim Isa, 25. Hafiz Ramdan (C); 30. Fandi Ahmad.

Pengadil: Zamzaidi Katimin