Piala Malaysia: Selangor 0 Pahang 2

Juara 33 kali, Selangor mengalami kekalahan kedua berturut dalam kempen Piala Malaysia 2018 selepas tewas 2-0 kepada Pahang pada perlawanan kedua Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas tewas 3-0 kepada PKNP FC di gelanggang sama minggu lalu, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utamanya dengan menukar sehingga enam pemain.

Biarpun berjaya mengimbangi permainan dan mengekang asakan Pahang pada babak awal permainan, gawang Selangor bocor juga pada minit ke-30 selepas Muslim Ahmad berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Nor Azam Abdul Azih dari sebelah kanan.

Menuju penghujung babak permainan separuh masa pertama, Joseph Kalang Tie melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-41 tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.

Separuh masa kedua bersambung, Selangor terus berusaha untuk memburu gol penyamaan dan pada minit ke-50, percubaan baik daripada kapten, Amri Yahyah sekali lagi digagalkan Helmi Eliza yang berjaya menepis percubaan tersebut.

Pahang sebaliknya berjaya menambah gol kedua pada minit ke-54 selepas sepakan sudut Nor Azam ditanduk ke tengah oleh Safuwan Baharudin dan kemudian disambung Muslim Ahmad sebelum disudahkan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Pelawat kendalian Dollah Salleh kemudian hampir berjaya menambah jaringan pada minit ke-58 tetapi percubaan Mohamadou Sumareh terkena tiang dan bola sekadar melintas di depan pintu gol Selangor.

Selangor pula terus buntu untuk melakukan percubaan ke arah pintu gol Pahang selepas penyerang utama, Rufino Segovia dirantai kemas pertahanan lawan.

Bagi perlawanan ketiga selepas ini, Selangor akan bertemu Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu, 18 Ogos ini.

Selepas dua perlawanan, Pahang dan Sabah berkongsi dua kedudukan teratas dengan empat mata diikuti PKNP FC dengan tiga mata selepas mereka tewas 1-0 kepada Sabah malam tadi dan Selangor di tangga keempat tanpa sebarang mata.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 7. Sean Eugene Selvaraj (28. Shahrul Igwan Samsudin 57′), 4. Abdul Halim Zainal (11. Faizzudin Abidin 59′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 19. Joseph Kalang Tie (16. K Sarkunan 87′); 10. Rufino Segovia, 17. Amri Yahyah (C).

PAHANG: 1. Helmi Eliza Elias; 2. Matthew Davies (C), 24. Muslim Ahmad, 19. Afif Amiruddin, 16. Zubir Azmi; Mohamadou Sumareh (17. Zuhair Aizat Nazri 88′), 21. Safuwan Baharudin, 20. Nor Azam Abdul Azih (23. Salamon Raj 86′), 9. Norshahrul Idlan Talaha; 29. Austin Amutu, 11. Issey Nakajima-Farran (8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria 44′).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin