Piala Malaysia: Selangor 0 Kelantan 3

Selangor tewas 3-0 kepada Kelantan pada perlawanan sulung Kumpulan C, Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Turun tanpa dua tonggak utama, Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor yang digantung perlawanan, Selangor beroleh dua peluang terbaik pada awal babak permainan.

Sepakan percuma Andik Vermansah pada minit kelima berjaya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat manakala percubaan Afiq Azmi turut dihalang penjaga gol Kelantan itu pada minit ke-15.

Kelantan kendalian Zahasmi Ismail bagaimanapun akhirnya berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi tandukan Gilmar Da Silva berpunca daripada sepakan sudut pada minit ke-26.

Separuh masa kedua bersambung, Selangor mengasak awal untuk memburu gol penyamaan dan rembatan pemain sayap, Fittri Shazwan Raduwan dari penjuru kotak penalti berjaya diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-48.

Kelekaan benteng pertahanan Selangor dihukum apabila Kelantan berjaya memperoleh gol kedua menerusi penyudah kemas Austin Amutu menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali pada minit ke-49.

Belum sempat Selangor menyusun semula permainan, Kelantan terus selesa mendahului 3-0 pada minit ke-53 apabila Gilmar menolak bola masuk ketika keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti untuk gol kedua peribadinya.

Bagi memberi nafas baharu kepada pasukan, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic membawa masuk Raimi Md Nor menggantikan Fittri Shazwan pada minit ke-54 dan Abdul Hadi Yahaya menggantikan Afiq pada minit ke-66, namun ia tetap menemui jalan buntu.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan C malam tadi menyaksikan Felda United FC berjaya menewaskan T-Team 3-0 di Stadium MP Selayang.

Selangor selepas ini akan bertemu T-Team untuk perlawanan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini (19 September).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 5. Shahrom Kalam (c), 17. Rizal Fahmi Rosid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 23. S Veenod (16. Saiful Ridzuan Selamat 89′), 24. Fittri Shazwan Raduwan (15. Raimi Md Nor 54′), 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahaya 66′), 13. Guilherme De Paula.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 5. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 4. Jonathan McKain, 42. Amirizdwan Taj Tajuddin, 3. Fitri Omar, 10. Nor Farhan Muhammad (11. Wan Zack Haikal Wan Nor 59′), 2. Norhafiz Zamani Misbah (12. Amar Rohidan 76′), 16. Badhri Radzi (c), 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (13. Ahmad Fakri Saarani 69′), 47. Austin Amutu, 50. Gilmar Da Silva.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin