Piala Malaysia: Selangor 0 Felda United 0

Selangor mencatat keputusan seri pertama pada saingan Piala Malaysia 2015 selepas terikat 0-0 dengan Felda United di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tewas 3-0 kepada Kelantan pada perlawanan pembukaan Kumpulan C pada 12 September lalu, Selangor meraih tiga mata penuh ketika menewaskan T-Team 1-0 di Kuala Terengganu, 19 September lalu.

Kekalahan 3-1 Kelantan kepada T-Team malam tadi menyaksikan persaingan merebut dua slot teratas ke suku akhir masih terbuka dengan Felda United kini mendahului Kumpulan C dengan lima mata diikuti Kelantan (4), Selangor (4) dan T-Team (3).

Di Stadium Shah Alam malam tadi, permainan terbuka dihidangkan kedua-dua pasukan biarpun sehingga penghujung permainan tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Amaran awal Felda United hadir pada minit ke-16 tetapi peluang terbuka pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya di dalam kotak penalti pantas dihadang keluar pemain pertahanan Selangor, Bunyamin Umar.

Felda United terus berpeluang pada minit ke-38, namun kali ini hantaran lintang Aizulridzwan Razali yang ditanduk baik Christie Jayaseelan tepat ke dakapan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Biarpun berjaya mengatur beberapa gerakan menarik, jentera depan Selangor dilihat sukar untuk melepasi benteng pertahanan Felda United yang dikawal Shukor Adan dan Bojan Miladovic bagi menguji penjaga gawang lawan, Farizal Harun.

Akhirnya pada penghujung babak pertama, penyerang import Selangor dari Brazil, Guilherme De Paula melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun ia sempat ditepis keluar oleh Farizal.

Bersambung babak kedua, Felda United sekali lagi mencemaskan penyokong tuan rumah tetapi percubaan terbuka Zah Rahan Krangar pada minit ke-52 sedikit melewati palang gol Selangor.

Seminit berselang, Nazmi Faiz Mansor hampir menceriakan pasukan tuan rumah, namun rembatan cantiknya dari luar kotak penalti sedikit sipi ke sebelah kiri gawang gol Felda United.

Selangor hampir memecah kebuntuan pada minit ke-58 menerusi satu serangan balas pantas yang digerakkan Andik Vermansah tetapi hantaran terakhirnya berjaya ditolak keluar pemain Felda United, Shahrul Saad di depan pintu gol.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic memasukkan dua penyerang, Abdul Hadi Yahaya dan Afiq Azmi menggantikan Ahmad Hazwan Bakri dan Raimi Md Nor pada minit ke-70 dan 79 dalam usaha memburu gol.

Namun peluang terbaik dimiliki Afiq pada minit ke-86 gagal disudahkan apabila percubaannya dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Felda United sempat dihadang pemain lawan untuk memberi kelegaan buat pengendali mereka, Irfan Bakti Abu Salim.

Untuk perlawanan keempat selepas ini, Selangor akan bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat ini (2 Oktober).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 15. Raimi Md Nor (19. Afiq Azmi 79′), 11. Ahmad Hazwan Bakri (14. Abdul Hadi Yahaya 70′), 13. Guilherme De Paula.

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun, 19. Firdaus Faudzi, 12. Shukor Adan (c), 4. Bojan Miladinovic, 18. Aizulridzwan Razali, 45. Christie Jayaseelan (49. Thiago Augusto 61′), 3. Shahrul Saad, 10. Zah Rahan Krangar, 11. Ahmad Syamim Yahya (25. Ferris Danial Mat Nasir 81′), 23. Indra Putra Mahayuddin, 9. Ndumba Makeche.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin