Piala Malaysia: Sarawak 1 Selangor 2

Juara 33 kali, Selangor berjaya meraih kemenangan sulung pada kempen Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan D di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan Selangor yang diikat Terengganu 1-1 pada aksi pertama di Selayang, Selasa lalu kini di tangga kedua kumpulan untuk berkongsi empat mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang diikat Terengganu 0-0 di Kuala Terengganu pada Jumaat.

Terengganu pula di tangga ketiga dengan dua mata manakala Sarawak yang tewas 4-0 kepada JDT di Larkin, Selasa lalu di tangga keempat tanpa sebarang mata.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, P Maniam melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika aksi bertemu Terengganu tempoh hari.

Norazlan Razali diletakkan di gawang sambil Khairulazhan Khalid direhatkan di bangku simpanan, Fairuz Abdul Aziz membuat penampilan sulung menggantikan kapten, Razman Roslan yang tidak dibawa ke Kuching kerana cedera manakala A Namathevan mengisi posisi Syahmi Safari yang turut tersisih kerana kecederaan.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-38 menerusi Francis Forkey Doe berpunca daripada sepakan sudut Andik Vermansah yang ditanduk sedikit oleh kapten untuk perlawanan ini, Amri Yahyah sebelum bola dikuis masuk penyerang import dari Liberia itu menewaskan penjaga gol Sarawak, Shahril Saa’ri.

Separuh masa pertama berakhir dengan Selangor mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Selangor terus selesa selepas berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-65 menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Sarawak, Dzulazlan Ibrahim.

Sarawak kendalian David Usop bagaimanapun berjaya juga membolosi gawang Selangor menerusi pemain gantian, Shreen Tambi pada minit ke-82 untuk merapatkan kedudukan 2-1, namun ia sudah terlewat untuk menafikan tiga mata penuh dibawa pulang Red Giants dari bumi kenyalang.

Selangor selepas ini akan kembali fokus untuk dua aksi Liga Super 2017 bertemu Perak di Stadium Perak, Ipoh pada Selasa ini dan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu sebelum perlawanan ketiga Piala Malaysia 2017 berdepan JDT di Selayang pada 18 Julai.

SARAWAK: 25. Shahril Saa’ri; 13. Dzulazlan Ibrahim, 2. Ronny Harun (C), 3. Demerson, 12. Ramesh Lai Ban Huat; 7. Nur Shamie Iszuan Amin, 30. Abdul Rahim Abdul Razak (20. Shreen Tambi 76′), 28. Awang Kamaruddin Awg Bohan (26. Alif Hassan 72′), 8. Tommy Mawat Bada; 51. Sahil Suhaimi, 52. Milos Raickovic.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 9. Adam Nor Azlin , 18. Ugochukwu Ukah, 26. Fairuz Abdul Aziz (17. Rizal Fahmi Rosid 77′); 2. A Namathevan, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 29. Amri Yahyah (C) (23. S Veenod 87′), 15. Raimi Md Nor; 7. Andik Vermansah, 10. Francis Forkey Doe, 30. Rufino Segovia (4. Abdul Halim Zainal 69′).

Pengadil: Fitri Maskon