Piala Malaysia: Sarawak 1 Selangor 2

Selangor berjaya menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi, sekali gus menjadi bekalan cukup penting menjelang suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tatkala keputusan dijangka berakhir seri selepas gol pendahuluan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-35 disamakan penyerang import Sarawak, Billy Mehmet minit ke-59, Afiq Azmi muncul wira Red Giants dengan jaringan kemenangan minit ke-89.

Amaran awal Selangor hadir seawal minit kelima tetapi sepakan percuma Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham terkena pemain Sarawak sebelum dikeluarkan dari kawasan bahaya.

Azrif yang beraksi di posisi pertahanan kiri sekali lagi memainkan peranan tetapi hantaran lintangnya gagal disudahkan penyerang import, Guilherme De Paula di depan pintu gol Sarawak pada minit ke-15.

Pada minit ke-22, giliran pemain tengah Selangor, Nazmi Faiz Mansor melepaskan rembatan jarak jauh, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Sarawak, Iqbal Suhaimi.

Dua minit berselang, situasi cemas berlaku di depan pintu gol Selangor tetapi akhirnya berjaya dikeluarkan barisan pertahanan sebelum bola melepasi garisan gol.

Gol pertama Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-35 menerusi penyudah Ahmad Hazwan, penyerang kebangsaan yang baru saja melangsungkan perkahwinan, hujung minggu lalu.

Kedudukan separuh masa pertama, Selangor mendahului Sarawak 1-0.

Bersambung babak kedua, Sarawak tampak garang untuk memburu gol penyamaan tetapi tandukan Ryan Griffiths sedikit melewati palang gol Selangor pada minit ke-50.

Namun Sarawak berjaya juga memperoleh gol penyamaan pada minit ke-59 menerusi tandukan Mehmet selepas hantaran lintang J Partiban untuk kedudukan semasa 1-1.

Pintu gol Selangor sekali lagi cemas pada minit ke-69 apabila penjaga gol, Norazlan Razali gagal menangkap kemas hantaran Partiban tetapi mujur diselamatkan rakan pertahanan lain.

Bagi memberi nafas baharu di barisan serangan, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic melakukan pertukaran pertama dengan membawa masuk Afiq Azmi bagi menggantikan Ahmad Hazwan pada minit ke-73.

Tiga minit kemudian, pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada Selangor biarpun Afiq dibentes pertahanan Sarawak selepas menyambut hantaran Nazmi Faiz.

Selangor kemudian terlepas peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-80 apabila penyerang, Abdul Hadi Yahaya yang hanya berdepan Iqbal sekadar menyepak sipi dari gawang gol Sarawak.

Pemain sayap import Selangor, Andik Vermansah pula terlepas peluang pada minit ke-86 apabila dia yang melakukan gerakan solo memperdayakan beberapa pemain Sarawak sekadar melakukan percubaan yang melepasi palang gol.

Namun usaha berterusan Selangor akhirnya berhasil apabila Afiq berjaya menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada minit ke-89 untuk menamatkan permainan dengan keputusan 2-1 berpihak kepada Selangor ke atas Sarawak kendalian jurulatih sementara, David Usop.

SARAWAK: 21. Iqbal Suhaimi, 13. Dzulazlan Ibrahim, 2. Ronny Harun (c), 17. Hairol Mokhtar, 12. Ramesh Lai, 7. J Partiban, 16. Shahrol Saperi, 47. Patrick Nyema Gerhardt, 11. Ashri Chuchu (26. Ivan Fatic ’90+1), 23. Ryan Griffiths, 9. Billy Mehmet.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Abd Kalam (c), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (19. Afiq Azmi 73′), 14. Abdul Hadi Yahaya (24. Fittri Shazwan Raduwan 90+4), 13. Guilherme De Paula (23. S Veenod 90+2).

Pengadil: Ahmad Zuhaidi Dzulkifli