Piala Malaysia: Sabah 2 Selangor 1

Juara 33 kali, Selangor terus gagal mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan awal kempen Piala Malaysia 2018 apabila tewas tipis 2-1 kepada pasukan Liga Premier, Sabah pada aksi Kumpulan D di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Terus berjuang tanpa tiga tonggak yang sedang beraksi pada Sukan Asia 2018 di Indonesia iaitu duo import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn serta pemain skuad B-23 kebangsaan, Syahmi Safari, ia kekalahan ketiga berturut Selangor selepas tewas kepada PKNP FC 3-0 dan Pahang 2-0, kedua-dua di Stadium Shah Alam.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir hanya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika tewas kepada Pahang apabila menurunkan K Sarkunan dan Faizzudin Abidin bagi mengisi tempat Abdul Halim Zainal dan Joseph Kalang Tie.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor dilihat berpeluang cerah untuk membawa pulang tiga mata selepas berjaya mendahui 1-0 pada minit ke-79 menerusi rembatan deras Sean Eugene Selvaraj yang menerima hantaran Faizzudin dari sebelah kanan.

Namun Sabah kendalian Jelius Ating berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi penyudah pemain gantian, Rahmanshah Marajeh selepas berlaku keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti Selangor.

Tatkala perlawanan dilihat seakan berkesudahan seri, seorang lagi pemain gantian tuan rumah, Ricco Nigel Milus muncul wira apabila menjaringkan gol kedua Sabah menerusi rembatan deras luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada masa kecederaan.

Selepas tiga perlawanan, Pahang dan Sabah terus berkongsi dua kedudukan teratas dengan tujuh mata, diikuti PKNP FC dengan tiga mata dan Selangor di tangga keempat tanpa sebarang mata.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Sabah bagi perlawanan keempat di Stadium Shah Alam pada Selasa, 28 Ogos.

SABAH: 30. Rozaimie Rohim; 27. Leopord Alfonso Otong, 3. Rawilson Batuil (C), 5. Francis Kasonde, 11. Alto Linus; 10. Maxsius Musa, 8. Azzizan Nordin, 23. Sabri Sahar, 24. Hamran Peter; 7. Rodoljub Paunovic, 9. Hector Pito Ramos.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C) (28. Shahrul Igwan Samsudin), 16. K Sarkunan, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 11. Faizzudin Abidin; 10. Rufino Segovia, 7. Sean Eugene Selvaraj.

Pengadil: Zulkarnain Zakaria