Piala Malaysia: PKNP FC 1 Selangor 4

Juara 33 kali, Selangor menamatkan kempen Piala Malaysia 2018 dengan nota kemenangan selepas menewaskan PKNP FC 4-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, malam tadi.

Ia kemenangan kedua berturut berjaya diraih skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu selepas menundukkan Pahang 3-1 di Kuantan, 1 September lalu.

Namun Selangor terdahulu sudah pun terkeluar daripada merebut tempat ke suku akhir selepas tewas keempat-empat perlawanan awal untuk menamatkan saingan Kumpulan D di tangga ketiga dengan enam mata, di belakang Sabah dan Pahang yang berjaya mara. PKNP FC pula di tangga keempat dengan empat mata.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika aksi bertemu Pahang dengan Ashmawi Yakin dan Saiful Ridzuwan Selamat digantung perlawanan manakala Ilham Udin Armaiyn di bangku simpanan.

Selangor dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pasukan tuan rumah kendalian Abu Bakar Fadzim selepas Fandi Ahmad menghukum kesilapan pertahanan import Selangor, Willian Pacheco untuk gol pertama PKNP FC pada minit ke-29.

Ia bagaimanapun tidak mencemaskan barisan pemain Selangor yang kemudian bangkit garang membalas tiga gol dalam tempoh lima minit.

Evan Dimas menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-37 selepas memperdayakan barisan pertahanan PKNP FC sebelum melepaskan sepakan menewaskan penjaga gol, Ahmad Asyraaf.

Selang dua minit kemudian, giliran Selangor pula di depan menerusi jaringan sepakan penalti Rufino Segovia selepas Razman Roslan dijatuhkan untuk pelawat seketika mendahului 2-1 pada minit ke-39.

Kedudukan Selangor semakin kukuh apabila sepakan percuma kapten, Amri Yahyah yang terbias benteng pertahanan PKNP FC mengelirukan Asyraaf dan bola menerjah masuk untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-42.

Selesa mendahului 3-1, babak kedua permainan menyaksikan Selangor sedikit mengendurkan asakan ke kubu lawan.

Bagaimanapun, pada masa kecederaan, Selangor menambah satu lagi gol menerusi pemain gantian, Joseph Kalang Tie yang menanduk masuk hantaran lintang Ilham Udin untuk kemenangan bergaya 4-1.

PKNP FC: 22. Ahmad Asyraaf Omar; 35. Ahmad Syami Shukri, 27. Ahmad Khuzaimi Piee, 4. Ritus Krjauklis, 14. Faizzwan Dorahim (3. Syamin Baharuddin 73′); 28. Ibni Khozaimi (20. Amirul Wa’ie Ya’acob 61′), 2. Ahmad Sukri Hamid, 29. Fadhil Idris (21. Norhakim Isa 55′), 25. Hafiz Ramdan (C); 10. Karl Max Dany, 30. Fandi Ahmad.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (2. A Namathevan 84′), 23. Willian Pacheco, 5. Amirul Ashraf Ariffin, 3. K Kannan; 20. Syahmi Safari, 16. K Sarkunan, 6. Evan Dimas (19. Joseph Kalang Tie 78′), 17. Amri Yahyah (C); 10. Rufino Segovia, 7. Sean Eugene Selvaraj (18. Ilham Udin Armaiyn 71′).

Pengadil: Mohd Hasrol Mohd Amir