ABK17

Piala Malaysia: Pahang 1 Selangor 3

Juara 33 kali, Selangor berjaya meraih kemenangan sulung dalam kempen Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Pahang 3-1 pada perlawanan kelima Kumpulan D di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi biarpun terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang baki sejam terakhir permainan.

Selepas tersingkir daripada perebutan dua tempat teratas kumpulan untuk ke suku akhir ekoran kekalahan keempat berturut dialami ketika tewas 2-1 kepada Sabah di Shah Alam pada Selasa lalu, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir telah melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utamanya termasuk meletakkan kapten, Amri Yahyah di bangku simpanan.

Barisan Selangor diketuai Syahmi Safari selaku kapten malam tadi berjaya mengejutkan Pahang kendalian Dollah Salleh menerusi gol pendahuluan Rufino Segovia pada minit ketujuh selepas penyerang import dari Sepanyol itu pantas memanfaatkan peluang terhidang di depan pintu gol tuan rumah.

Namun Selangor tersentak pada minit ke-28 apabila pemain pertahanan, Ashmawi Yakin dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan pemain naturalisasi Pahang, Mohamadou Sumareh yang dilihat pengadil, Fitri Maskon mempunyai peluang menjaringkan gol.

Sepakan percuma yang diberikan itu kemudian berjaya disudahkan dengan baik oleh pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin dan mengelirukan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid untuk gol penyamaan Pahang pada minit ke-31.

Biarpun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, Selangor berjaya memulakan separuh masa kedua dengan langkah kanan selepas pertahanan import, Willian Pacheco berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-48 apabila menyudahkan peluang terbuka berikutan keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti Pahang.

Tatkala Pahang terus rancak menyerang bagi memburu gol penyamaan, mereka dihukum dengan gol ketiga Selangor pada minit terakhir masa kecederaan lima minit diberikan pengadil menerusi jaringan K Sarkunan yang menyudahkan bola tampanan penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros selepas percubaan awal oleh pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj.

Selangor selepas ini akan melengkapkan perlawanan terakhir Piala Malaysia 2018 bertemu PKNP FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 16 September depan.

PAHANG: 22. Remezey Che Ros; 2. Matthew Davies (C), 24. Muslim Ahmad, 19. Afif Amiruddin, 16. Zubir Azmi; Mohamadou Sumareh, 21. Safuwan Baharudin, 20. Nor Azam Abdul Azih, 9. Norshahrul Idlan Talaha; 29. Austin Amutu, 10. Patrick Cruz.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco, 15. Ashmawi Yakin, 3. K Kannan; 20. Syahmi Safari (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 6. Evan Dimas, 16. K Sarkunan; 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

Pengadil: Fitri Maskon