Piala Malaysia: Pahang 1 Selangor 0

Juara bertahan, Selangor mengalami kekalahan sulung dalam kempen Piala Malaysia 2016 selepas tewas 1-0 kepada Pahang pada perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Jaringan tunggal Matthew Davies pada minit ke-32 sudah cukup untuk menghidupkan semula peluang Pahang yang berjaya meraih tiga mata sulung dalam saingan yang kini dikuasai Kelantan dengan 7 mata diikuti Selangor 4 mata, Kuala Lumpur 3 mata dan Pahang 3 mata.

Pada aksi malam tadi, corak permainan Selangor kendalian Zainal Abidin Hassan nyata serba tidak menjadi apabila gagal mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol.

Sebaliknya percubaan berbahaya pertama Pahang yang dibimbing Razip Ismail hadir pada minit ke-26, mujur pertahanan import Selangor, Ugochukwu Ukah pantas menghadang rembatan deras Pablo Vranjican.

Gol Pahang akhirnya menjelma pada minit ke-32 selepas hantaran R Dinesh dari sebelah kiri gagal dicabar pertahanan Selangor untuk Davies mudah menanduk tepat menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Selangor yang jarang dapat menguji benteng Pahang pada babak pertama beroleh peluang terbaik pada minit ke-35, namun sepakan percuma Mauro Olivi dapat dibaca dengan baik oleh penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias.

Babak kedua bersambung, Zainal terus melakukan perubahan drastik dengan membawa keluar penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh dan memasukkan R Gopinathan untuk meletakkan Olivi dan Ahmad Hazwan Bakri mengetuai jentera depan.

Ahmad Hazwan berpeluang pada minit ke-61 tetapi percubaan kaki kirinya dari luar kotak penalti sedikit sipi ke gawang Pahang.

Kemasukan Adam Nor Azlin menggantikan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-65 juga gagal membawa perubahan, sebaliknya Pahang berpeluang menambah gol kedua tetapi dinafikan kegagalan R Kogileswaran menyempurnakan peluang terbuka di depan pintu gol pada minit ke-69.

Gawang Selangor sekali lagi terselamat pada minit ke-73 selepas percubaan Faysal Shayesteh yang melantun selepas dihadang Khairulazhan sekadar menggegar palang gol.

Baki permainan selepas itu menyaksikan Selangor terus buntu dalam usaha menembusi benteng Pahang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Selangor selepas ini akan kembali memberi fokus untuk saingan Liga Super 2016 dengan bakal berdepan T-Team di Kuala Terengganu, Rabu ini diikuti aksi bertemu Kedah di Alor Setar pada Sabtu ini.

PAHANG: 51. Helmi Eliza Elias, 2. Matthew Davies (C), 23. Jailton de Campos, 3. Saiful Nizam Miswan, 24. R Dinesh (17. Rizua Shafiqi), 8. A Salamon Raj, 5. Claudio Meneses, 16. R Kogileswaran (19. Fauzi Rozlan 78′), 14. Faisal Rosli, 10. Faysal Shayesteh (11. Nor Azam Azih 90+2′), 9. Pablo Vranjican.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar, 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan (C), 15. Raimi Md Nor, 23. S Veenod, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 10. Nazmi Faiz Mansor (9. Adam Nor Azlin 65′), 11. Ahmad Hazwan Bakri (14. Abdul Hadi Yahaya 72′), 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (25. R Gopinathan 46′).

Pengadil: Zohri Tajudin