Piala Malaysia: Pahang 0 Selangor 0

Selangor berjaya mengikat juara bertahan, Pahang 0-0 pada perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Ia bekalan baik buat skuad Red Giants kendalian Mehmet Durakovic itu bagi melayan kunjungan Pahang pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, Ahad ini (6 Disember).

Pada perlawanan malam tadi, Selangor terlebih dahulu menguji kubu Pahang seawal minit ketiga tetapi rembatan Guilherme De Paula terkena kepala pemain pertahanan tuan rumah, Saiful Nizam Miswan untuk bola melantun keluar.

Namun selepas itu, Pahang kendalian Zainal Abidin Hassan pula bertali arus melakukan deretan percubaan ke arah gawang Selangor yang dikawal dengan cemerlang oleh penjaga gol, Norazlan Razali.

Bermula sepakan percuma Hafiz Kamal pada minit ke-18 yang sedikit sipi dan hantaran Azammuddin Akil dari sebelah kanan pada minit ke-24 gagal ditanduk tepat R Gopinathan, gawang Selangor terus terselamat pada minit ke-27 apabila Norazlan berjaya menepis sepakan sudut Gopinathan sebelum sempat disambar Zesh Rehman.

Kekecewaan Pahang berterusan apabila rembatan deras kaki kiri Hafiz dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol Selangor pada minit ke-41.

Norazlan pula terus cemerlang pada minit ke-44 apabila menumbuk keluar bola sepakan percuma Azammuddin dan sepakan lambung susulan oleh Shahrizan Salleh turut berjaya dikuis keluar penjaga gol Selangor itu.

Bersambung babak kedua, Pahang terus mengasak benteng Selangor bermula dengan tandukan Azammuddin dalam kotak penalti pada minit ke-49 yang sedikit melewati palang gol.

Sesekali mengasak, Selangor hampir dihadiahkan gol pertama pada minit ke-52 apabila hantaran Nazmi Faiz Mansor dari sebelah kiri nyaris tertanduk masuk ke gawang sendiri oleh Azammuddin.

Tiga minit berselang, giliran De Paula pula memperoleh peluang tetapi percubaannya di depan kotak penalti Pahang berjaya pula dihadang kemas dua pemain pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-74, kubu Selangor sekali lagi cemas tetapi Norazlan berjaya menepis kemas percubaan Zesh dalam kotak penalti.

Gawang Selangor sekali lagi terselamat pada minit ke-82 apabila keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti akhirnya berjaya diselamatkan oleh Norazlan.

Tatkala Pahang terus rancak menyerang, Selangor hampir menghukum mereka pada masa kecederaan menerusi satu serangan balas tetapi percubaan terakhir oleh S Veenod sedikit melewati palang gol.

PAHANG: 1. Khairulazhan Khalid, 41. Matthew Davies, 3. Saiful Nizam Miswan, 4. Damion Stewart (c), 20. Shahrizan Salleh, 12. Azammuddin Akil, 6. Zesh Rehman, 21. Hafiz Kamal, 24. R Gopinathan (7. R Surendran 59′), 9. Matias Conti, 10. Dickson Nwakaeme.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Abd Kalam (c), 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim 81′), 11. Ahmad Hazwan Bakri (14. Abdul Hadi Yahaya 64′), 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah, 19. Afiq Azmi (23. S Veenod 73′), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar