Piala Malaysia: Kuala Lumpur 1 Selangor 1

Juara bertahan, Selangor muncul juara Kumpulan B saingan Piala Malaysia 2016 meskipun sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir di Stadium Majlis Perbandaran, Selayang, malam tadi.

Ia susulan kekalahan 2-0 pencabar terdekat, Kelantan kepada Pahang yang menyaksikan Selangor kendalian jurulatih sementara, K Gunalan di tangga teratas dengan 11 mata diikuti Kelantan (10), Pahang (9) dan Kuala Lumpur (4).

Dengan kejayaan itu, Selangor selaku juara Kumpulan B bakal berdepan naib juara Kumpulan C, PKNS FC pada perlawanan suku akhir yang dijadual pada 27 atau 28 Ogos serta 17 atau 18 September ini.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua jurulatih sekadar menurunkan barisan kedua selepas Selangor telah layak lebih awal manakala Kuala Lumpur kendalian Ismail Zakaria sudah pun tersingkir untuk mara ke suku akhir.

Gunalan yang mempertaruhkan tiga pemain Piala Presiden – A Namathevan, Muhammad Faizzudin Mohd Abidin dan K Kannan dalam kesebelasan utama terpaksa melakukan pertukaran awal pada minit ke-11 selepas pemain tengah, Hafiz Kamal mengalami kecederaan dan S Veenod dibawa masuk.

Kuala Lumpur memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-42 menerusi percubaan Fahrul Razi Kamaruddin yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Gunalan membawa masuk pula pemain sayap import dari Indonesia, Andik Vermansah menggantikan Faizzudin pada minit ke-55 bagi memperkasakan jentera depannya dalam memburu gol penyamaan.

Hasilnya pada minit ke-68, Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah kemas Ahmad Hazwan Bakri yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Soffuan Tawil untuk memastikan satu mata berjaya dicuri di Selayang.

Selangor selepas ini akan bertemu Sarawak di Kuching pada Rabu ini untuk perlawanan ke-19 bagi saingan Liga Super 2016.

KUALA LUMPUR: 24. Soffuan Tawil, 28. Irfan Zakaria, 51. Nazri Ahmad, 19. Ahmad Azlan Zainal (C), 11. Isma Alif Salim (21. Helmi Remeli 66′), 7. Fahrul Razi Kamaruddin, 13. Rosdi Zakaria (27. Hafiz Johar 60′), 8. Abdul Halim Zainal, 23. Na’im Nazmi Zainudin, 17. Arif Anwar, 10. Hardee Shamsuri (20. Zhafri Yahya 60′).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 32. A Namathevan, 13. Razman Roslan (C), 19. S Subramaniam, 15. Raimi Md Nor, 34. Faizzudin Abidin (7. Andik Vermansah 55′), 21. Hafiz Kamal (23. S Veenod 11′), 9. Adam Nor Azlin, 35. K Kannan, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 14. Abdul Hadi Yahaya (8. Saiful Ridzuan Selamat 82′).

Pengadil: Ismail Asib Md Amin