Piala Malaysia: Kelantan 0 Selangor 1

Selangor merampas tangga teratas Kumpulan C selepas berjaya menamatkan badi 13 tahun tidak menang di Kota Bharu dengan akhirnya menundukkan Kelantan 1-0 pada perlawanan keempat TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Jaringan sendiri pemain pertahanan Kelantan, Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-19 sudah cukup untuk memberikan kemenangan bersejarah buat Selangor yang kali terakhir berjaya melakukannya di stadium berkenaan pada tahun 2002.

Selepas empat perlawanan peringkat kumpulan, Selangor kini di tangga teratas Kumpulan C dengan tujuh mata mengatasi Felda United (5), Kelantan (4) dan T-Team.

Namun Felda United dan T-Team hanya akan beraksi perlawanan keempat mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Pada aksi di Kota Bharu malam tadi, Selangor kendalian jurulatih Mehmet Durakovic jelas menguasai babak awal permainan tetapi gagal menghadirkan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Sepakan percuma pemain sayap Selangor, Raimi Md Nor pada minit ke-13 sedikit melewati palang gol Kelantan.

Hanya pada minit ke-17, Kelantan menguji gawang Selangor tetapi hantaran Noor Hazrul dari sebelah kiri yang sempat dikuis sedikit oleh Ahmad Fakri Saarani di depan pintu gol berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Gol Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-19 selepas hantaran yang cuba dilakukan Nazmi Faiz Mansor dari sebelah kiri untuk mencari Ahmad Hazwan Bakri telah tertolak masuk ke gawang sendiri oleh Noor Hazrul untuk menewaskan Khairul Fahmi.

Pada minit ke-36, Noor Hazrul cuba menebus kesilapannya itu tetapi rembatan jarak jauh berbahaya dilakukannya berjaya didakap kemas oleh Norazlan.

Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang apabila menerbangkan badannya untuk menepis keluar sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-45 sebelum babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-0.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang import, Guilherme De Paula dijatuhkan pemain pertahanan Kelantan, Amirizdwan Taj Tajuddin pada minit ke-56, namun pengadil bertindak meneruskan permainan.

Bagi memberikan nafas baharu dalam usaha mencari gol penyamaan, jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail membawa masuk dua pemain import, Jonathan McKain dan Erwin Carrillo menggantikan Noor Hazrul dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, masing-masing pada minit ke-59 dan 63.

Namun Norazlan terus cemerlang mempertahankan gawang Selangor daripada dibolosi apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kelantan termasuk sepakan percuma kapten, Badhri Radzi pada minit ke-67.

Saingan TM Piala Malaysia berehat dua minggu untuk perlawanan antarabangsa membabitkan skuad kebangsaan dan baki dua perlawanan peringkat kumpulan akan disambung selepas itu dengan Selangor bakal bertemu T-Team di Stadium Shah Alam pada 17 Oktober dan menentang Felda United di Stadium Selayang pada 27 Oktober.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 5. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 6. Farisham Ismail, 42. Amirizdwan Taj Tajuddin, 15. Noor Hazrul Mustafa (4. Jonathan McKain 59′), 11. Wan Zack Haikal Wan Nor, 12. Amar Rohidan (2. Norhafiz Zamani Misbah 73′), 16. Badhri Radzi (c), 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (9. Erwin Carrillo 63′), 13. Ahmad Fakri Saarani, 50. Gilmar Da Silva.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c) (17. Rizal Fahmi Rosid 88′), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah (14. Abdul Hadi Yahaya 70′), 8. Leandro dos Santos (25. K Gurusamy 81′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 15. Raimi Md Nor, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Zamzaidi Katimin