Piala Malaysia: Kedah 1 Selangor 1 (Penalti 6-5)

Selangor gagal mempertahankan kejuaraan selepas tewas 6-5 kepada Kedah pada penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit final Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam, malam tadi berkesudahan seri 1-1.

Biarpun Kedah mendahului hasil jaringan Rizal Ghazali pada minit ke-52, Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-60 untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Pada penentuan sepakan penalti, kedua-dua pasukan terpaksa mengambil sehingga lapan sepakan bagi mencari pemenang.

Enam sepakan penalti Kedah berjaya disempurnakan Bang Seungwhan, Farhan Roslan, Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar, Abdul Halim Saari dan Rizal manakala sepakan pertama Shane Smeltz dan sepakan keenam Amirul Hisyam Awang Kechik berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Bagi Selangor pula, lima sepakan menerjah jaring menerusi Ugochukwu Ukah, Patrick Ronaldinho Wleh, Mauro Olivi, S Veenod dan Andik Vermansah manakala sepakan ketiga Azmi Muslim diselamatkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim, sepakan keenam Hafiz Kamal melambung tinggi dan sepakan kelapan Rizal Fahmi Rosid menggegar palang.

Dengan kemenangan itu, Kedah kendalian Tan Cheng Hoe berjaya menjulang trofi Piala Malaysia buat kali kelima manakala Selangor bimbingan jurulatih sementara, K Gunalan gagal untuk meraih kejuaraan ke-34 selepas berjaya mencapai ‘Misi 33’ pada tahun lalu di bawah kendalian Mehmet Durakovic.

Pada aksi malam tadi, peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-14 tetapi rembatan Andik yang memakai lilitan lengan selaku kapten berjaya diselamatkan oleh Ifwat Akmal.

Kedah pula nyaris mendapatkan gol pada minit ke-40 tetapi kuisan Smeltz selepas menerima hantaran Baddrol dari sebelah kanan tepat ke dakapan Khairulazhan.

Terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Selangor beroleh peluang terbaik pada awal babak kedua, namun percubaan baik Andik dalam kotak penalti Kedah berjaya dikeluarkan di depan pintu gol oleh Amirul Hisyam pada minit ke-48.

Akhirnya Kedah berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-52 selepas percubaan Rizal dari luar kotak penalti terbias badan Veenod lalu mengelirukan Khairulazhan yang tertewas di pintu gol Selangor.

Kedah hampir menambah jaringan pada minit ke-58 tetapi sepakan percuma Baddrol berjaya ditepis keluar Khairulazhan.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi penyudah kemas Ahmad Hazwan dalam kotak penalti selepas gerakan satu dua menarik dengan Ronaldinho untuk menewaskan Ifwat Akmal.

Kedah selepas itu beroleh beberapa lagi peluang terbaik untuk memperoleh gol kemenangan tetapi percubaan Syazwan Zainon menerusi serangan balas pada minit ke-67 berjaya diselamatkan Khairulazhan manakala sepakan percuma Krasniqi pada masa kecederaan sekadar menggegar tiang gol Selangor.

Pada masa tambahan, Kedah terus hampa apabila percubaan bahaya Baddrol dalam kotak penalti berjaya ditepis Khairulazhan manakala tandukan Smeltz pada minit ke-95 sedikit sipi ke gawang Selangor.

Selangor pula beroleh peluang terbaik pada minit ke-111 tetapi sepakan deras R Gopinathan terbias keluar apabila ditanduk pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari untuk mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti.

Pada final Piala Malaysia tahun lalu, Selangor berjaya menewaskan Kedah 2-0 di stadium yang sama menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan.

KEDAH: 31. Ifwat Akmal Chek Kassim, 15. Rizal Ghazali, 4. Bang Seungwhan, 3. Syawal Nordin (13. Khairul Helmi Johari 31′), 25. Azmeer Yusof, 7. Baddrol Bakhtiar (C), 16. Amirul Hisyam Awang Kechik, 8. Liridon Krasniqi, 22. Syazwan Zainon (19. Farhan Roslan 110′), 14. Shane Smeltz, 9. Thiago Augusto (18. Abdul Halim Saari 69′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar (13. Razman Roslan 75′), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (21. Hafiz Kamal 59′), 23. S Veenod, 25. R Gopinathan, 11. Ahmad Hazwan Bakri (16. Mauro Olivi 96′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Amirul Izwan Yacob