Piala Malaysia: Kedah 1 Selangor 0

Juara 33 kali, Selangor gagal untuk melangkah ke pentas final buat musim ketiga berturut-turut selepas tewas 1-0 kepada juara bertahan, Kedah pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Kekalahan tipis menerusi jaringan sepakan penalti Sandro Da Silva pada minit ke-30 itu menyaksikan Selangor kendalian P Maniam tersingkir menerusi agregat 4-2 selepas tewas 3-2 pada suku akhir pertama di Selayang, 15 September lalu.

Pada aksi malam tadi, Maniam hanya melakukan satu pertukaran berbanding aksi pertama dengan meletakkan Norazlan Razali di gawang sambil jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mengekalkan kesebelasan sama.

Selangor yang memburu gol awal menguji seawal minit ketiga tetapi tandukan Rufino Segovia selepas menerima hantaran lintang Syahmi Safari dari sebelah kanan sedikit tersasar dari pintu gol Kedah.

Tuan rumah kemudian turut menguji gawang Selangor menerusi rembatan Liridon Krasniqi di depan kotak penalti yang tepat ke dakapan Norazlan pada minit keenam.

Peluang terbaik Selangor selepas itu dipersiakan Francis Forkey Doe pada minit kelapan apabila sepakan lencongnya sedikit sipi dari pintu gol Kedah.

Kedah pula hampir saja mengejutkan Selangor pada minit ke-11, namun percubaan depan gol oleh Sandro ketika keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Selangor kemudian sekali lagi dihidangkan peluang terbaik pada minit ke-24 tetapi kali ini gerakan pusingan badan menarik Rufino menyaksikan percubaannya dihadang pemain pertahanan Kedah dan rembatan susulan oleh Syahmi berjaya pula diselamatkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Segalanya menjadi lebih sukar buat Selangor selepas Kedah dihadiahkan sepakan penalti apabila Ken Ilso Larsen dijatuhkan Ugochukwu Ukah dan ia berjaya disudahkan Sandro untuk gol pertama Kedah pada minit ke-30, sekali gus menjarakkan agregat 4-2.

Bersambung babak kedua, Maniam membawa masuk pemain sayap import dari Indonesia, Andik Vermansah bagi menajamkan jentera serangannya dalam usaha memburu tiga gol yang diperlukan.

Namun beberapa peluang terhidang tetap gagal diterjemahkan termasuk percubaan sambil berlari oleh Forkey Doe yang berjaya ditepis baik oleh Ifwat pada minit ke-65.

Ketika ghairah memburu gol, gawang Selangor hampir dibolosi lagi pada minit ke-70, namun hantaran Baddrol Bakhtiar sekadar melintasi depan pintu gol apabila Ken Ilso lambat tiba untuk menyudahkannya.

Menuju penghujung permainan, Selangor terus kecewa apabila tiga percubaan berbahaya menerusi Andik berjaya digagalkan oleh kecekapan Ifwat pada minit ke-84, 86 dan 90 untuk keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed.

Selangor selepas ini akan menghabiskan baki dua perlawanan Liga Super 2017 bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat pada Rabu ini dan berdepan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan pada 28 Oktober depan.

KEDAH: 25. Ifwat Akmal Chek Kassim; 15. Rizal Ghazali (27. Ariff Farhan Md Isa 58′), 13. Khairul Helmi Johari (C), 4. Zachary Anderson, 3. Fitri Omar; 16. Amirul Hisyam Awang Kechik, 8. Liridon Krasniqi; 7. Baddrol Bakhtiar (33. Akhyar Rashid 87′), 10. Sandro Da Silva, 22. Syazwan Zainon (19. Farhan Roslan 74′); 9. Ken Ilso Larsen.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin; 20. Syahmi Safari (4. Abdul Halim Zainal 75′), 23. S Veenod, 29. Amri Yahyah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (3. K Kannan 61′), 15. Raimi Md Nor (7. Andik Vermansah 49′); 10. Francis Forkey Doe, 30. Rufino Segovia.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed