Juara 33 kali, Selangor kendalian P Maniam muncul naib juara Kumpulan D selepas tewas 3-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Selepas enam perlawanan, JDT di tangga teratas dengan 13 mata diikuti Selangor, 10 mata untuk kedua-dua pasukan mara ke peringkat suku akhir sementara Sarawak di tangga ketiga (5 mata) dan Terengganu keempat (4 mata) selepas kedua-dua pasukan seri 3-3 di Kuala Terengganu.

Dengan kedudukan itu, Selangor akan berdepan juara Kumpulan C, Kedah pada perlawanan suku akhir pertama di Selayang yang dijadual pada 15 atau 16 September serta perlawanan suku akhir kedua di Alor Setar pada 23 atau 24 September manakala JDT akan bertemu naib juara Kumpulan C, Melaka.

Dua lagi aksi suku akhir menyaksikan juara Kumpulan A, PKNP FC berdepan naib juara Kumpulan B, Felda United manakala juara Kumpulan B, Perak bertemu naib juara Kumpulan A, Pahang.

Pada aksi di Larkin malam tadi, Mohammed Ghaddar meletakkan JDT di hadapan menerusi penyudah kemas dalam kotak penalti pada minit ke-16 untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-28 menerusi tandukan kemas Rufino Segovia yang gagal diselamatkan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.

JDT kendalian Ulisses Morais kembali di hadapan pada minit ke-30 selepas pemain tengah, Gary Steven Robbat menanduk masuk bola sepakan percuma Natxo Insa untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 2-1.

Dalam usaha Selangor memburu gol penyamaan pada babak kedua, JDT akhirnya berjaya memperoleh gol ketiga menerusi jaringan kedua peribadi Ghaddar pada minit ke-75.

JOHOR DARUL TA’ZIM: 24. Izham Tarmizi Roslan (C), 12. S Kunanlan, 24. Junior Eldstal, 27. Fadhli Shas, 3. Hasbullah Abu Bakar (15. Fazly Mazlan 46′); 50. Natxo Insa, 13. Gary Steven Robbat, 21. Nazmi Faiz Mansor (8. Safiq Rahim 56′); 10. Gabriel Guerra, 22. Mohammed Ghaddar (29. Safawi Rasid 80′), 11. Gonzalo Cabrera.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin; 20. Syahmi Safari (23. S Veenod 80′), 7. Andik Vermansah (11. Faizzudin Abidin 83′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 29. Amri Yahyah, 3. K Kannan; 10. Francis Forkey Doe, 30. Rufino Segovia.

Pengadil: Mohd Zohri Tajuddin