Piala Malaysia: Felda Utd 3 Selangor 2

Selangor tewas 3-2 kepada Felda United pada perlawanan terakhir Kumpulan C saingan TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Namun kekalahan itu tidak menggugat kedudukan Selangor yang sudah pun layak ke suku akhir selaku juara kumpulan selepas menewaskan T-Team 2-1 pada 17 Oktober lalu.

Selesai enam perlawanan, Selangor di tangga teratas dengan 10 mata hasil tiga menang, sekali seri dan dua tewas untuk diiringi Felda United ke suku akhir dengan sembilan mata manakala Kelantan sekadar di tangga ketiga dengan lapan mata diikuti T-Team dengan enam mata.

Babak awal permainan di Selayang malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang, namun tidak banyak percubaan berbahaya berjaya dihasilkan.

Pada minit ke-32, Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol pertama menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti oleh pemain pertahanan kanan, Shazlan Alias yang menggamamkan penjaga gol Felda United, Farizal Harun.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Namun bersambung babak kedua, Felda United berjaya memperoleh dua gol pantas untuk mengatasi Selangor.

Gol penyamaan Felda United terhasil pada minit ke-49 apabila Thiago Augusto berjaya mengatasi pertahanan import Selangor, Robert Cornthwaite sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali.

Dua minit berselang, Felda United berjaya menambah gol kedua juga menerusi penyudah kemas Thiago di dalam kotak penalti.

Ketinggalan 2-1, Selangor cuba kembali bangkit tetapi sepakan padu penyerang import, Guilherme De Paula pada minit ke-58 sekadar menggegar tiang gol Felda United.

Felda United kendalian Irfan Bakti Abu Salim sebaliknya berjaya menambah gol ketiga selepas hantaran Zah Rahan Krangar dari sebelah kiri tertampan masuk ke gawang sendiri oleh Cornthwaite pada minit ke-65.

Lantas jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Saiful Ridzuwan Selamat dan A Thamil Arasu bagi menggantikan Leandro dos Santos dan Ahmad Hazwan Bakri, masing-masing pada minit ke-66 dan 68 bagi menyuntik tenaga baharu.

Selangor akhirnya berjaya merapatkan kedudukan apabila De Paula menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-89 untuk gol kedua Selangor, namun kedudukan 3-2 itu kekal sehingga wisel penamat.

Bagi perlawanan suku akhir nanti, Selangor akan berdepan naib juara Kumpulan B yang mana perlawanan terakhir kumpulan berkenaan hanya akan berlangsung pada 24 November ini.

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun, 19. Firdaus Faudzi, 12. Shukor Adan (c), 4. Bojan Miladinovic, 5. Adib Aizuddin Latif, 45. Christie Jayaseelan, 3. Shahrul Saad, 10. Zah Rahan Krangar, 11. Ahmad Syamim Yahya, 23. Indra Putra Mahayuddin, 49. Thiago Augusto (17. Fauzan Dzulkifli 71′).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 4. Shazlan Alias (18. K Thanaraj 78′), 5. Shahrom Kalam (c), 2. Robert Cornthwaite, 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos (16. Saiful Ridzuwan Selamat 66′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (9. A Thamil Arasu 68′), 14. Abdul Hadi Yahaya, 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin